Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiada harga siling tiket penerbangan domestik musim perayaan
Diterbitkan:  Nov 12, 2018 2:45 PM
Dikemaskini: 8:05 AM

PARLIMEN | Kementerian Pengangkutan berkata syarikat penerbangan tempatan komited untuk meningkatkan kapasiti penerbangan sehingga 20 peratus bagi tujuh hari sebelum musim perayaan sebagai usaha menurunkan harga tiket.

"Bagi mengelakkan kenaikan harga tiket semasa musim perayaan, kerajaan dimaklumkan komitmen daripada syarikat penerbangan tempatan untuk meningkatkan kapasiti penerbangan mereka sebanyak 20 peratus bagi tujuh hari sebelum Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Hari Gawai dan Keamatan, terutamanya bagi penerbangan yang mempunyai permintaan yang tinggi," kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke dalam jawapan bertulis parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Anggota Parlimen Hulu Langat Hasanuddin Mohd Yunus pada 29 Okt yang bertanya tentang langkah terbaik bagi memastikan syarikat penerbangan tidak menaikkan harga ketika musim perayaan.

Bagaimanapun, kata Loke, kerajaan tidak akan menetapkan harga siling terhadap syarikat penerbangan tempatan.

"Kerajaan akan terus membenarkan harga tiket bergantung kepada pasaran di mana syarikat penerbangan akan menetapkan harga tiket dengan mengambil kira permintaan pasaran, situasi ekonomi dan faktor lain seperti harga minyak dan kos operasi," katanya.

Kerajaan juga akan mendapatkan kerjasama lapangan terbang dan pengendali pengangkutan awam bagi meningkatkan operasi mereka di lapangan terbang pada tujuh hari berkenaan.

Loke juga menasihatkan orang ramai agar membuat perancangan dan membeli tiket awal bagi mendapatkan tawaran harga terbaik.

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) juga telah diarahkan memantau harga tiket dan mengkaji kesan peningkatan kapasiti penerbangan, tambahnya.

"Sekiranya langkah ini tidak berhasil dalam menyelesaikan isu kenaikan harga melampau ketika musim perayaan, kementerian akan mempertimbangkan penetapan harga siling dan harga lantai bagi tiket penerbangan tempatan," katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS