KJ: Belanjawan 2019 kejam pada golongan B40
PARLIMEN | Anggota parlimen Rembau Khairy Jamaluddin mengkritik keras Belanjawan 2019 sebagai ‘kejam’ terhadap golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).
Menurut Khairy, begitu banyak bantuan kepada B40 yang telah diberikan oleh kerajaan BN terdahulu, namun dilupakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Jika dividen khas RM30 bilion daripada Petronas tidak diambil kira, maka belanjawan pada tahun ini sebenarnya tidak jauh berbeza berbanding belanjawan tahun lalu.
“Anda ada jumlah wang yang hampir sama, anda sepatutnya boleh kekalkan program-program untuk B40, tapi anda tak buat.
“Bagi saya saya, ini menunjukkan belanjawan ini sangat sangat kejam terhadap B40, dan tak ada apa-apa untuk golongan pertengahan (M40),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di parlimen hari ini.
Terdahulu, Khairy telah membentangkan ucapan balas pertama BN terhadap Belanjawan 2019 yang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada 2 November lalu.
Malah, tambah Khairy, terdapat anggota parlimen kerajaan sendiri yang tidak berpuas hati dengan belanjawan berkenaan kerana menurutnya, banyak pemotongan bantuan rakyat.
“Benda yang baik (dalam belanjawan) semua ‘copy-paste’ (tiru) daripada BN, [...] namun banyak benda yang dilupakan-nelayan, luar bandar, musim tengkujuh, bantuan pelajar, perikanan dan sebagainya.
“Saya difahamkan anggota parlimen kerajaan pun sangat tidak puas hati bahawa banyak bantuan rakyat telah dipotong atau dikurangkan,” katanya.
Khairy turut berkata bahawa dia telah mencadangkan penstrukturan semula cukai pendapatan agar lebih banyak bantuan dapat disalurkan kepada golongan yang memerlukan.
“Saya telah mencadangkan kredit cukai pendapatan terhadap golongan pertengahan, dan saya cadangkan penstrukturan semula sistem cukai pendapatan supaya kita kenakan lebih cukai kepada golongan kaya, supaya boleh disumbangkan kepada golongan M40 dan B40,” tambahnya.
Sementara itu, Khairy menyangkal dakwaan bahawa perhatian kerajaan BN terhadap golongan B40 dahulu adalah semat-mata kerana mahu membeli undi.
“Kami bantu B40 bukan kerana undi, tetapi kerana mereka itu golongan miskin.
“Kami (BN) adalah kerajaan pertama yang membuat program pemberian wang tunai secara besar-besaran, Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M),” katanya lagi.

