Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KJ: Belanjawan 2019 bukan untuk orang bandar saja

DEWAN RAKYAT | Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) bahawa Belanjawan 2019 sepatutnya untuk seluruh Malaysia dan bukan Kuala Lumpur sahaja.

Beliau berkata belanjawan itu hanya mengutamakan penduduk bandar berbanding mereka di luar bandar.

"Jangan dihukum pengundi di luar Kuala Lumpur.

"Saya faham, kebanyakan pengundi PH tinggal di Kuala Lumpur, tetapi ini Belanjawan 2019 untuk Malaysia, bukan untuk Kuala Lumpur," katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata kerajaan baru kerap bercakap tentang penswastaan dan cenderung kepada ekonomi pasaran bebas.

"Penswastaan, penswastaan, penswastaan. Kita kembali kepada dogma lama."

Beliau mempersoalkan sama ada pendekatan itu akan membantu kehidupan golongan di pedalaman seperti petani, penternak dan nelayan.

Belanjawan baru ini, katanya lagi, tiada inisiatif jaringan keselamatan sosial untuk membangu golongan itu, yang menurutnya menjadi fokus pentadbiran BN terutama ketika musim tengkujuh dan musim menuai.

"Bantuan ini bukan untuk beli undi mereka. Bantuan ini tentang mereka dapat makan atau tidak - kerana bagi golongan ini, ketika musim tengkujuh, ketika menunggu musim menuai, mereka hilang punca pendapatan utama mereka.

"Saya nak tanya, kalau bukan kerajaan yang bantu golongan ini sewaktu musim sebegini, siapa yang nak bantu mereka? Nak suruh pasaran bebas bantu mereka? Nak suruh pemaju dan konglomerat gergasi bantu mereka?

"Kalau nak bantu petani dan nelayan hidup ketika musim-musim begini pun bukan tugas kerajaan, habis apa tugas kerajaan?"

Beliau berkata kerajaan boleh membantu golongan itu dengan memberikan latihan kemahiran jangka pendek agar mereka dapat mencari pendapatan lain ketika "tidak ke laut dan tidak menuai".

Ia boleh merangkumi apa saja kemahiran termasuk kraftangan dan vokasional, katanya lagi.

"Tetapi itupun kerajaan PH tak sebut dalam belanjawan. Bantuan tak disebut, kemahiran gantian pun tak disebut.

Maka sekali lagi saya nak tanya, apa yang kerajaan nak mereka buat ketika musim-musim sebegitu?" soalnya sekali lagi.

Beliau berkata masalah ini berpunca daripada dasar ekonomi yang terlalu bertumpu kepada golongan di bandar.

Lihat Komen
ADS