Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Petani lada di Sarawak nyaris buat air mata Johari menitis
Diterbitkan:  Nov 12, 2018 3:58 PM
Dikemaskini: 7:58 AM

PARLIMEN | Perbahasan Anggota Parlimen Sungai Petani Johari Abdul terganggu seketika apabila beliau cuba memperkatakan kepayahan hidup petani lada di Sarawak.

Pada awalnya anggota parlimen terbabit dilihat terdiam seperti mencari perkataan yang sesuai untuk diucapkan.

Bagaimanapun tidak lama kemudian barulah disedari Johari sebenarnya menahan dirinya supaya tidak mengalirkan air mata.

Sebelum itu Johari berkata petani akan terjejas teruk jika subsidi untuk baja padi dipotong.

Menceritakan pengalamannya ke Sarawak beberapa hari lalu Johari berkata beliau didatangi petani lada hitam dan lada putih yang menceritakan masalah mereka.

"Lada hitam di ladang dijual dangan harga RM8 sekilo, dan untuk dapat sekilo lada hitam, bukanlah satu tugas yang mudah.

"Kalau untuk lada putih, mungkin bolehlah dapat RM12 (sekilo), tapi untuk sediakan, nak dapat sekilo lada ini, ia memakan masa yang banyak.

"Dan saya lihat bagaimana petani-petani ini bekerja, amat-amat...." katanya tanpa dapat meneruskan kata-katanya semasa membahaskan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat hari ini.

Selepas beberapa saat, Johari dapat mengawal perasaannya dan berkata: Tuan Speaker, it's very bad, it's very bad (ia sangat teruk... ia sangat teruk).

Justeru kata Johari kerajaan wajar melihat keadaan petani terbabit agar mereka boleh dibantu dengan sewajarnya.

"Tolonglah, sebab ia sangat teruk," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS