Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M: Malaysia dan S'pura ibarat saudara kembar

Malaysia berharap untuk meneruskan hubungan baik dalam bidang ekonomi dan saling menghormati dengan Singapura, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau yang tiba di Singapura hari ini untuk melakukan lawatan rasmi dua hari, menyifatkan Malaysia dan Singapura sebagai saudara kembar, kecuali “kembar yang tua agak besar sedikit daripada adiknya dan sedikit berusia.”

“Namun kita berjaya hidup bersama-sama dalam suasana begitu harmoni,” katanya ketika berucap pada majlis makan tengah hari untuk meraikan beliau dan isteri, Dr Siti Hasmah Mohd Ali, oleh rakan sejawatan beliau dari Singapura, Lee Hsien Loong serta isteri, Ho Ching di Istana - kediaman rasmi presiden republik itu.

“Bukan sesuatu yang lazim untuk kita melihat negara yang pada mulanya bersatu, kemudian berpisah dan masih berupaya untuk bekerjasama serta bantu-membantu antara satu sama lain,” katanya.

Mahathir turut mengambil peluang merakamkan penghargaan Malaysia atas sumbangan yang dihulur Singapura semasa negara itu berdepan krisis kewangan baru-baru ini.

“Kami akan sentiasa menghargainya. Jika ada apa-apa cara untuk kami membalas budi baik ini, kami akan cuba melakukannya,” katanya, tanpa merujuk sebarang bantuan khusus.

Bagaimanapun, ia dipercayai berikutan persetujuan Singapura untuk menangguhkan pembinaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) sehingga penghujung Mei 2020.

Berikutan permohonan Malaysia bagi penangguhan projek itu, kerajaan bersetuju untuk membayar kos penangguhan S$15 juta kepada kerajaan Singapura sebelum 31 Jan 2019.

Perdana menteri menegaskan perkara paling penting adalah untuk "meneruskan hubungan baik ini walaupun antara kedua-dua negara akan wujud sedikit perbezaan".

“Persaingan juga akan timbul namun persaingan adalah sesuatu yang sihat. Ia membantu kita supaya benar-benar berusaha untuk menang dalam apa jua persaingan. Ia akan membantu kita berkembang dengan lebih pantas,” katanya.

Rakan dagang kedua terbesar

Mahathir berkata lagi, Malaysia dan Singapura saling bergantungan.

“Singapura tidak mempunyai kawasan pedalaman tetapi perlu menganggap Malaysia sebagai kawasan pedalamannya, dan begitu juga, sejak sekian lama, Malaysia perlu bergantung kepada Singapura bagi eksport serta import disebabkan Singapura telah berkembang menjadi sebuah pelabuhan hebat yang setanding dengan pelabuhan ternama di dunia,” katanya.

Mahathir berkata Malaysia memerlukan khidmat pelabuhan Singapura dan perkhidmatan lain yang berkaitan dengan perdagangan serta industri.

Singapura merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia selepas China dan jumlah dagangan dua hala antara kedua-dua negara pada 2017 adalah RM220.88 bilion, mewakili 12.9 peratus daripada dagangan global Malaysia.

Mengenai lawatannya itu, Dr Mahathir berkata beliau “sangat gembira” untuk melakukan lawatan berkenaan dan berbincang dengan Lee tentang hubungan kedua-dua negara serta cara untuk terus meningkatkannya.

Beliau menegaskan Lee adalah pemimpin kedua melawat Malaysia selepas Pakatan Harapan memenangi PRU ke-14.

“Memanglah ia bukan lawatan rasmi, tiada perbarisan atau pemeriksaan kawalan kehormat, namun sambutan yang diberi adalah sambutan yang benar-benar ikhlas.

“...dan kami mengharapkan hubungan akrab ini, yang bermula sebaik sahaja kerajaan baru mengambil alih, akan terus menjadi rapat serta saling bekerjasama. Saya harap lawatan ini akan meneguhkan hubungan kukuh antara kedua-dua negara dan terus berkembang.

“Hubungan ini berkembang beriringan agar setiap kita dapat meraih manfaat daripada dua jiran yang bukan berselisih faham, tetapi, ada ketikanya saling bersaing namun lebih banyak menjalin kerjasama,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS