Paling Popular
Terkini
story images
story images

PARLIMEN | Esok, rakyat mungkin dapat melihat gandingan aneh apabila Anggota Parlimen Kinabatangan Bung Mokhtar Radin dan Anggota Parlimen Sungai Petani Johari Abdul mungkin akan turun ke pasar, bersama-sama.

Lawatan ke pasar itu dicadangkan oleh Bung Moktar kepada Johari ketika Johari menyindirnya sebagai jenis yang ‘tidak turun ke pasar’.

Bung Moktar membuat sindirian itu ketika mencelah ucapan Johari di Dewan Rakyat dengan menyentuh isu harga barang dan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

“Damansara (Tony Pua) ucap, dengan SST, harga barang akan turun. Tapi barang sekarang pun tidak turun-turun?” soal Bung Moktar kepada Johari.

Johari kemudian menyangkal kenyataan itu dengan menempelak bahawa jika Bung Moktar ada turun ke pasar, dia pasti sedar bahawa harga sebenarnya sudah turun.

“Saya yakin teman-teman saya yang bekas menteri, bekas timbalan menteri, sampai sekarang pun tak turun pasar.

“Dia (Bung Moktar) cuma dengar orang lapor, (dia) turut cakap. Yang sebenar (jika) turun pasar, harga memang turun, kecuali kita pergi London, hotel, [...] tapi kalau kita turun dan hidup seperti kami pernah hidup sebagai pembangkang, kami tahu yang harga memang turun.

“Tanyalah siapa pun, kecuali kita hidup seperti (orang yang) tidak mahu mengakui yang mereka sekarang (sudah jadi) pembangkang,” balas Johari kepada celahan Bung Moktar.

Tidak berpuas hati dengan jawapan Johari, Bung Moktar akhirnya mengajaknya untuk turun pasar bersama-sama untuk melihat harga barang, dan pelawaan itu disahut oleh Johari.

“Ya, insya-Allah esok kita turun,” katanya.

Bung Moktar kemudian menambah bahawa dia memang setiap hari ke pasar.

“Saya ini orang kampung, saya memang pergi pasar hari-hari. Pasar orang kampung saya pergi, luar negara pun saya pergi pasar orang kampung. Bukan pasar raya.

“Yang pergi pasar raya, Damansara (Pua),” tambahnya.

Berdasarkan hansard Dewan Rakyat 7 Ogos lalu, Pua telah dipetik berkata bahawa beliau percaya harga barang akan turun dengan sistem SST berbanding GST.

"[...]dan saya percaya dengan sistem cukai SST yang baharu ini, walaupun cukai akan dikenakan, tetapi harga barang akan lebih murah daripada bila sistem GST bawah kerajaan BN," katanya. 

Lihat Komen
ADS