Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB: Hutang Melaka RM1.8b beri kesan usaha bantu rakyat
Diterbitkan:  Nov 12, 2018 5:23 PM
Dikemaskini: 9:23 AM

Hutang kerajaan Melaka yang kini berjumlah RM1.8 bilion boleh memberi kesan kepada usaha melaksana pelbagai inisiatif membantu rakyat, kata Ketua Menteri Adly Zahari.

Ini kerana, beliau berkata jumlah peruntukan diterima kerajaan negeri daripada kerajaan persekutuan akan berkurangan apabila ia ditukar dengan jumlah bayaran hutang, sekali gus boleh menjejaskan jumlah tunai dimiliki kerajaan negeri bagi melaksana inisiatif untuk rakyat.

“(Daripada) jumlah hutang RM1.8 bilion itu, lebih RM370 juta adalah pinjaman pendahuluan daripada kerajaan persekutuan, dan lebih RM600 juta merupakan hutang akibat defisit dan selebihnya hutang awam.

“Usaha kurangkan hutang perlu tetapi kita juga perlu tingkatkan lagi pendapatan dan mengamal langkah penjimatan, yang penting kita ada lebihan dan daripada lebihan itu kita akan rancang lebih banyak (inisiatif) untuk rakyat,” katanya kepada pemberita di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka di Melaka hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri menstruktur semula hutang tersebut dalam usaha memastikan ia tidak menjadi beban kepada pentadbiran kerajaan negeri dan rakyat secara amnya.

Adly berkata bagi pinjaman pendahuluan daripada kerajaan persekutuan, pihaknya tidak membuat pinjaman pendahuluan baharu sehingga kini, sebaliknya membuat penstrukturan semula agensi kerajaan negeri yang terlibat dengan hutang awam.

Bagi hutang akibat defisit disebabkan perbelanjaan melebihi jumlah pendapatan yang mengakibatkan kerajaan negeri terpaksa berhutang bagi menampung perbelanjaan itu, beliau berkata kerajaan negeri komited untuk mengurangkan jumlah defisit tersebut.

“Belanja kita kekal defisit tetapi kaedahnya kita kena kurangkan defisit supaya tidak terlalu tinggi. Tahun lepas (defisit) RM79 juta, tahun ini sehingga Oktober sebanyak RM30 juta...walaupun kita dapat kurangkan kita masih dipacu defisit.

“Maka kita kena kurangkan perbelanjaan kita sampai pendapatan lebih daripada perbelanjaan, selain menambah pendapatan kita daripada pelbagai punca,” katanya.

Terdahulu dalam sesi soal jawab pada persidangan itu, Adly berkata langkah kerajaan negeri mengumumkan jumlah hutangnya adalah selaras dengan dasar ketelusan diamalkan Pakatan Harapan dan bukannya untuk menakut-nakutkan pelabur.

"Berdasarkan ketelusan inilah, pelabur akan yakin dengan kita dan cara kepimpinan Malaysia baharu," katanya ketika menjawab soalan tambahan Ketua Pembangkang Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), yang bertanya tentang tujuan kerajaan negeri mengumumkan jumlah hutang ditanggung.

- Bernama

Lihat Komen
ADS