Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Muhyiddin nasihat Maszlee segera lepas jawatan presiden UIAM
Diterbitkan:  Nov 12, 2018 6:15 PM
Dikemaskini: 10:42 AM

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dinasihatkan supaya melepaskan jawatan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan segera, kata Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga menteri dalam negeri, berkata kerajaan dan parti telah membuat keputusan tersebut namun anggota parlimen Simpang Renggam itu meminta sedikit masa untuk berbuat demikian.

"Ini keputusan kerajaan dan juga parti, dan beliau tahu dan terima keputusan tersebut...atas sebab itu saya suka menasihatkan beliau untuk berbuat demikian secepat yang mungkin," katanya mengulas kedudukan Maszlee sebagai presiden UIAM yang dipersoalkan kelayakannya kerana memegang portfolio sebagai menteri Kabinet.

Muhyiddin berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Penguatkuasaan Undang-Undang (JPU) di Putrajaya hari ini yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Sebelum ini, media memetik kenyataan pegawai khas Maszlee bahawa Maszlee akan melepaskan jawatan tersebut selepas menyelesaikan beberapa isu termasuk mencari pengganti.

Ganti Rais Yatim

Maszlee dilantik sebagai presiden UIAM ketujuh selama tiga tahun pada September lepas setelah diperkenankan oleh Ketua Perlembagaan UIAM, Sultan Ahmad Shah. Beliau menggantikan Dr Rais Yatim yang tamat kontrak pada Julai lepas.

Berhubung hasrat Mohd Ali Baharom atau lebih dikenali sebagai Ali Tinju untuk menyertai Bersatu, Muhyiddin berkata parti itu mempunyai prinsip dan hanya menerima individu yang tidak memiliki rekod buruk.

"Orang kenal dia (Ali Tinju) bukan atas cerita yang bagus ...tak kan orang macam itu kita nak terima masuk," katanya.

Ditanya berkenaan sokongan terbuka wakil rakyat DAP terhadap Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Muhyiddin berkata beliau tiada masalah mengenainya kerana keputusan akhir meratifikasi ICERD terletak kepada kerajaan.

"Kita tidak membataskan sesiapa daripada mengemukakan pandangan kerana pada akhirnya kerajaan yang akan membuat keputusan dan kami bertanggungjawab memutuskan yang terbaik untuk negara," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS