Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
JPP yakin keputusan pemilihan PKR diperoleh hujung minggu

PEMILIHAN PKR | Pengerusi Jawatankuasa pemilihan pusat (JPP) PKR Rashid Din berkata beliau yakin pihaknya akan mengumumkan penyandang jawatan baru bagi pimpinan parti pada Kongres Nasional PKR 2018 yang akan diadakan hujung minggu ini.

"Ya, kami yakin boleh," kata Rashid ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Kongres tiga hari itu akan bermula pada Jumaat di Ideal Convention Centre (ICC), Shah Alam.

Bagaimanapun, dengan berbaki empat hari saja lagi, JPP masih perlu menangani beberapa masalah berhubung pemilihan parti itu.

Antara lain, keputusan pemilihan pada hujung minggu lalu belum dimuat naik di laman web JPP. Data pemilihan biasanya dimuat naik beberapa jam selepas pemilihan di suatu cabang tamat.

JPP juga perlu mengesahkan ribuan 'undi ragu' - undi dari individu yang diragui kelayakannya mengundi - sebelum keputusan rasmi diumumkan.

Selain itu, JPP juga perlu memutuskan sama ada akan mengadakan pemilihan semula di Julau atau tidak. Pemilihan cabang Julau digantung selepas calon timbalan presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa tablet yang digunakan untuk sistem e-undi diceroboh.

Ketika ditanya berhubung kemungkinan pemilihan semula di Julau, Rashid menjawab: "Kami belum buat keputusan".

Selepas menggantung keputusan di Julau, Rashid sebelum ini menjelaskan kepada pemberita bahawa 10 tablet e-undi diceroboh menggunakan aplikasi antikecurian bernama 'Prey'.

Berdasarkan pengiraan Malaysiakini, penyandang jawatan timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali dilihat bakal mempertahankan jawatannya dengan memperoleh 51.82 peratus undi keseluruhan.

Pemilihan bagi jawatan naib presiden, majlis pimpinan pusat, sayap Pemuda dan Wanita juga dilihat kebanyakannya dimenangi oleh kem Azmin.

 

Lihat Komen
ADS