Maszlee: SBK boleh tukar jadi sekolah k'jaan
PARLIMEN | Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) yang menghadapi masalah untuk menampung kos operasi sekolah disaran untuk menukar status sekolah mereka kepada sekolah kerajaan, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.
Beliau memberitahu persidangan Dewan Rakyat hari ini bahawa langkah ini bagi membolehkan segala perbelanjaan mengurus dan pembangunan insfrastruktur dapat ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
Dalam itu, beliau berkata perhatian dan peruntukan kewangan serta perhatian yang sewajarnya juga sentiasa diberikan kementerian itu kepada SBK termasuk peruntukan mengurus yang merangkumi emolumen dan elaun guru, bayaran utiliti, kawalan keselamatan dan pembersihan kawasan, pemberian bantuan geran per kapita (PCG) dan peralatan pengajaran serta pembelajaran.
Jelasnya kementerian turut menyediakan peruntukan bantuan modal dan Pakej Rangsangan Khas walaupun aspek infrastruktur SBK adalah di bawah tanggungjawab Lembaga Pengelola Sekolah (LPS).
“SBK menerima bantuan kewangan yang komprehensif daripada kerajaan melalui belanjawan tahunan kerajaan termasuklah membaik pulih bangunan sekolah yang uzur dan tidak selamat digunakan bagi memastikan semua murid dan guru yang berada di sekolah dalam keadaan selamat, ceria dan gembira,” katanya menjawab soalan lisan Natrah Ismail (PH-Sekijang).
Maszlee berkata pemantauan juga dilakukan bagi memastikan bantuan peruntukan yang disalurkan benar-benar mencapai sasarannya.
- Bernama

