Veteran Umno Mustapha Yaakub menyifatkan Rais Yatim dan Rafidah Aziz sebagai "tiada jati diri" dan tidak layak digelar sebagai veteran Umno.

Jelas Mustapha yang merupakan setiausaha agung veteran Umno, pemimpin veteran lain yang "berpegang pada prinsip" tidak akan sesekali meninggalkan parti itu.

"(Tindakan keluar parti)...itu veteran yang macam Rais dan Rafidah saja, bukan veteran Umno.

"Veteran seperti dia (Rais dan Rafidah) yang tiada jati diri perjuangan yang bersikap habis madu sepah dibuang. Bagi saya beliau tidak layak menggunakan istilah veteran Umno.

"Jangan guna istilah veteran Umno pada mereka yang sudah keluar parti dan meninggalkan Umno. Veteran Umno mempunyai 800,000 ahli berpegang teguh kepada perjuangan parti," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Semalam, Rais yang juga ketua badan pimpinan Bersatu Negeri Sembilan dalam satu majlis di Kuala Lumpur mendakwa lebih ramai veteran Umno akan menyertai Bersatu dalam tempoh terdekat.

Beliau turut mengakui ramai dari Johor, Kelantan dan Kedah menzahirkan keinginan untuk menyertai parti berkenaan.

Namun katanya, tidak wajar untuk menyebut nama-nama veteran Umno yang akan menyertai Bersatu kerana mereka telah memilih jadual sendiri dan akan muncul membuat pengumuman tersendiri.

Tambah Mustapha lagi, individu seperti Rafidah tidak layak digelar sebagai veteran Umno kerana bekas menteri itu telah digugurkan keahilannya terlebih dulu oleh parti itu.

"Jadi, mereka tidak layak untuk menggunakan istilah veteran Umno, macam Rafidah, beliau disingkir Umno dan bermakna dia bukan lagi veteran Umno," katanya.