Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akhirnya, Maszlee sahkan akan lepas jawatan presiden UIAM
Diterbitkan:  Nov 12, 2018 9:55 PM
Dikemaskini: 2:01 PM

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik hari ini mengumumkan bahawa beliau akan melepaskan jawatan sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Dalam kenyataan di Twitter, Maszlee berkata, beliau akan melepaskan jawatan itu selepas proses pelantikan penggantinya yang menurutnya akan selesai hujung bulan ini.

"Sebenarnya saya telah pun memutuskan untuk melepaskan jawatan Presiden UIAM iaitu sebaik selepas istiadat konvokesyen UIAM berakhir dan proses pelantikan pengganti saya selesai.

"Saya percaya proses pelantikan pengganti akan selesai akhir November 2018," katanya.

Maszlee turut merujuk kenyataan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin yang menasihati beliau agar segera melepaskan jawatan sebagai presiden universiti berkenaan.

"Saya menghormati keputusan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Kabinet berhubung isu jawatan Presiden UIA.

"Pada masa yang sama, saya menghormati kenyataan YB Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya.

Terdahulu, pada sidang media di Putrajaya hari ini, Muhyiddin memaklumkan bahawa kerajaan dan pimpinan Bersatu telah memutuskan agar Maszlee meletakkan jawatan itu.

Namun, jelas Muhyiddin, anggota parlimen Simpang Renggam itu meminta sedikit masa untuk berbuat demikian.

Maszlee dilantik sebagai presiden UIAM ketujuh bagi tiga tahun pada September lepas setelah diperkenankan oleh Ketua Perlembagaan UIAM, Sultan Ahmad Shah.

Beliau menggantikan Dr Rais Yatim yang tamat kontrak pada Julai lepas.

Bagaimanapun, pelantikan itu mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk daripada aktivis mahasiswa.

 

Lihat Komen
ADS