Beberapa tokoh terkenal antarabangsa yang bukan daripada kalangan ahli politik telah dikenal pasti sebagai calon Presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) yang baharu, kata Menteri Pendidikan Maszlee Malik.

Maszlee, yang dilaporkan bersetuju melepaskan jawatan Presiden UIAM yang mencetuskan kontroversi itu, berkata nama-nama calon itu akan dipersembahkan kepada Ketua Perlembagaan UIAM, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

“Bakal Presiden UIAM mesti terkenal di peringkat antarabangsa dan mempunyai reputasi yang tinggi," katanya selepas melakukan tinjauan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 16 (1), di Putrajaya hari ini.

Maszlee dilaporkan berkata beliau bersetuju melepaskan jawatan sebagai Presiden UIAM dan menunggu sehingga istiadat konvokesyen UIAM, yang sedang berlangsung berakhir, sebelum memberi laluan kepada pengganti yang bakal dilantik.

Semalam, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin juga menasihati beliau agar segera melepaskan jawatan sebagai presiden universiti berkenaan.

Menurut Muhyiddin, kerajaan dan pimpinan Bersatu telah memutuskan agar Maszlee meletakkan jawatan itu.

Maszlee dilantik sebagai presiden UIAM ketujuh bagi tiga tahun pada September lepas setelah diperkenankan oleh Ketua Perlembagaan UIAM, Sultan Ahmad Shah.

Beliau menggantikan Dr Rais Yatim yang tamat kontrak pada Julai lepas.

Bagaimanapun, pelantikan itu mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk daripada aktivis mahasiswa. Ini lebih-lebih lagi kerana dalam manifesto Pakatan Harapan, anggota kabinet tidak akan mencampuri urusan pentadbiran universiti.