Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu pihak yang berkenaan mengambil tindakan ke atas golongan tidak bertanggungjawab mempersoalkan isu-isu teras dan paksi dalam Perlembagaan Persekutuan.

Baginda bertitah, golongan terbabit tidak boleh dibiarkan terus menghasut rakyat dengan membangkitkan dan mempersoalkan kontrak sosial yang dipersetujui kaum majoriti di negara ini sebelum merdeka dulu.

Perjanjian itu kata Sultan Selangor bukan saja sudah dipersetujui, malah turut diterjemahkan dalam Perlembagaan Persekutuan yang digunakan sehingga hari ini.

"Walau berulang kali beta menyentuh tentang isu-isu ini, namun beta akan terus bersuara dan menegaskan bahawa tiada sebarang tolak ansur dalam cubaan golongan tertentu mengikis kuasa dan keistimewaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan ini.

"Perana raja-raja Melayu dalam memayungi kesucian agama Islam sebagai agama persekutuan dan memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera tanpa mengetepikan hak kaum lain akan terus bertapak di negara ini dan pertahankan," titah baginda.

Sultan Selangor bertitah sedemikian ketika merasmikan program Multaqa Sultan Shafaruddin Idris Shah dan Seminar Pemikiran Liberalisme dan Pluralisme serta pelancaran buku Fatwa Warta Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam, pagi tadi.

Hadir sama Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Mufti Selangor Mohd Tamyes Abd Wahid.

Sebelum ini timbul cadangan untuk kerajaan untuk menandatangi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Boleh turun malapetaka

Namun ia mendapat bantahan daripada pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik khususnya pembangkang yang menyifatkan keputusan itu akan memberi kesan kepada perlembagaan dan hak istimewa orang Melayu dan bumiputera.

Bantahan terhadap ICERD menyaksikan pemuda pembangkang membabitkan Umno, Pas, Parti Ikatan Bangsa Malaysia mengadakan demonstrasi aman di ibu kota.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pula menyuarakan keraguannya terhadap ICERD dan mahu pertimbangan sewajarnya diambil sebelum ia ditandatangani.

Pada 30 Oktober lalu, Mahathir berkata kerajaan hanya akan meratifikasi Konvensyen ICERD selepas berbincang dengan semua kaum.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin turut menyuarakan kembimbangan baginda berhubung penyebaran fahaman pluralisme dan liberalisme di negara ini.

Titah baginda, ada segelintir umat Islam mula terpengaruh dengan fahaman berkenaan.

"Tambah mendukacitakan apabila tuntutan golongan liberal ini turut mendapat sokongan daripada segelintir pemimpin yang beragama Islam, sedangkan pemikiran liberal ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar.

"Beta amat khuatir jika pemikiran ini tidak dibendung secara serius, ia mungkin akan menjadi satu jalan memudahkan musuh Islam menghancurkan Islam di negara ini dan dikhuatiri Allah SWT akan menurunkan malapetaka kepada kita semua," titah baginda.