Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) perlu memastikan penceramah yang mengajar agama khususnya berkaitan dengan akidah memiliki tauliah yang sahih.

Perkara itu disuarakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang turut bertitah supaya Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jais memperkasakan silibus penyelidikan di sekolah-sekolah yang berdaftar dengan Mais.

Jelas baginda ia penting bagi memastikan pendedahan awal diberikan terhadap anak-anak berkenaan bahaya dan ancaman fahaman sesat dan menyeleweng.

"Pihak Jais perlu memastikan semua penceramah yang menyampaikan pengajaran Islam terutamanya berkaitan akidah mempunyai tauliah yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tauliah Mais.

"Beta juga menyeru semua umat Islam supaya membantu pihak Jais dengan membuat aduan berkaitan sebarang aktiviti penyebaran fahaman-fahaman salah seumpama ini.

"Apa yang penting ialah umat Islam hendaklah menghormati setiap fatwa yang telah diputuskan oleh pihak berkuasa dalam menentukan sesuatu hukum," titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah sedemikian ketika merasmikan Program Multaqa Sultan Shafaruddin Idris Shah dan Seminar Pemikiran Liberalisme dan Pluralisme Ancaman Terhadap Akidah dan Pelancaran Buku Fatwa Warta Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam, pagi tadi.

Hadir sama Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Mufti Selangor, Mohd Tamyes Abd Wahid.

Dalam pada itu baginda turut meluahkan rasa dukacita terhadap segelintir umat Islam yang mempertikai fatwa dikeluarkan negeri Selangor yang sudah diputuskan serta diwartakan.

"Sedangkan golongan ini bukanlah orang yang mempunyai kepakaran dalam membicarakan isu-isu yang berkaitan dengan hukum Islam.

"Apa yang turut membimbangkan beta, pertikaian ini dibuat secara terbuka dan ini boleh menyebabkan umat Islam menjadi keliru, berbalah dan berpecah," titah baginda.