Bakal Presiden PKR, Anwar Ibrahim mengakui kelemahan sistem pemilihan parti itu yang sedang berlangsung.

Katanya, semua laporan sama ada oleh pihak media atau pihak yang bertanding akan disiasat.

“Kami telus, tapi yang pentingnya proses (pemilihan) itu kena jalan teruslah tak boleh tangguh lagi, tapi saya tahulah kelemahan sistem itu memang diakui dari awal.

“Saya juga buat kenyataan (tentang itu) berulang kali, cuma saya tidak pertikaikan jawatankuasa pemilihan parti (JPP) [...],” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata segala aduan haruslah disalurkan mengikut saluran dan proses yang betul agar parti boleh terus berjalan.

“Memang banyak keresahan, kerana dianggap tidak telus dan banyak undi ragu. Banyak masalah, saya akui. Walau bagaimanapun, saya punya pendapat, kita kena ikut proses, dan parti kena jalan.

“Yang tak puas hati, ada proses boleh dibangkitkan dan ratusan aduan kita harus teliti. Kalau bawa ke polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), biarkan diteruskan kerja mereka.

“Tapi parti tak boleh tangguh lagi, ini perkara yang saya hendak tekankan,” katanya.

Pemilihan PKR berdepan pelbagai laporan salah laku seperti pembelian undi dan sabotaj.

Terbaru, pemilihan di Julau pada 10 November lalu didakwa terpalit dengan isu pembelian undi tetapi dikatakan disabotaj pula dengan serangan siber perisian hasad.

Ketua bahagian Betong Sarawak Vernon Kedit juga mendedahkan beliau memiliki bukti ‘yang tidak dapat dipertikaikan’ berikutan pembelian undi di situ.

Bagaimanapun, Jawatankuasa pemilihan pusat (JPP) mengumumkan tiada pemilihan semula di Julau, dan keputusan pemilihan di cabang itu akan dimuat naik ke laman rasmi dalam masa terdekat.

Sementara itu, Bernama memetik Anwar sebagai berkata, semua rungutan mengenai pemilihan PKR harus disiasat secara telus.

"Saya tengok media, dua-dua pihak buat tuduhan tentang peraturan dan salah guna tablet. Kita ada berpuluh-puluh (rungutan), jadi kalau tanya saya, semua aduan, kita siasat semualah. Kita sentiasa telus.

"Yang pentingnya proses itu kena jalan teruslah tak boleh tangguh lagi tapi saya tahulah kelemahan sistem itu dan memang diakui dari awal," katanya.

Anwar turut menegaskan beliau telah membuat kenyataan berulang kali mengenai sistem pemilihan kali ini.

"Saya tidak pertikai Jawantankuasa Pemilihan Parti (JPP) cuma pergi sampai Hulu Rejang orang nak guna tablet, masalah besarlah. Memang banyak keresahan kerana dianggap tidak telus dan undi ragu pun banyak. Banyak masalah, saya akui.

"Bagaimanapun saya punya pendapat, kita kena ikut proses dan parti kena jalan. Yang menang dan yang kalah itu biasa dalam proses demokrasi. Yang tak puas hati, ada proses boleh dibangkitkan dan keseluruhan ratusan rugutan kita harus teliti.

Kata Anwar, biar Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara berkenaan jika rungutan tersebut dibawa hingga ke pihak mereka.

"Biarkan mereka teruskan kerja mereka. Tapi parti tak boleh tangguh lagi. Ini perkara yang saya hendak tekankan," katanya.