SOP untuk kendali tertuduh OKU akan diwujudkan
PARLIMEN l Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengkaji untuk mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) berhubung penahanan dan pengendalian orang kena tuduh daripada golongan berlainan keupayaan (OKU) oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Timbalan Menteri KDN Datuk Mohd Azis Jamman berkata usaha itu juga ke arah menambah baik garis panduan Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) sedia ada.
Katanya, walaupun PDRM sememangnya mempunyai SOP atas urusan tangkapan dan menghadapkan orang-orang yang kena tuduh seperti yang digariskan dalam PTKPN, namun ia tidak mempunyai pengkhususan mengenai pengendalian orang kena tuduh daripada golongan OKU.
“PDRM menerima baik cadangan ini dan akan membuat penambahbaikan dalam SOP dalam tempoh terdekat,” katanya menjawab soalan lisan K Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, antara perkara yang dikaji dan dimasukkan dalam perintah tersebut berkaitan pengendalian golongan istimewa ini meliputi penyediaan bilik khas untuk proses dokumentasi, jaminan polis, laporan perubatan, pembebasan dan perkara-perkara lain yang perlu dimasukkan dalam perintah tersebut.
Di samping penambahbaikan terhadap SOP tersebut, latihan kepada angota PDRM akan turut dirancang bagi mengendalikan kes seumpama ini, kata Mohd Azis.
Untuk itu, katanya, KDN juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta beberapa NGO yang berkaitan dengan golongan istimewa ini untuk memperhalusi SOP sedia ada bagi memastikan prosedur penguatkuasaan sentiasa peka terhadap keperluan golongan itu.
"Kementerian komited menjamin kesejahteraan semua pihak dan kami memperakui terdapat cabaran baru bagi menangani kes-kes terbaru melibatkan seorang individu autisme yang dilaporkan berlaku di USJ Subang Jaya baru-baru ini.
Menjawab soalan lain, Mohd Azis menjelaskan pemohonan dan pembaharuan lesen senjata api mengambil masa kerana KDN dan PDRM mengenakan tapisan ketat ke atas perkara itu bagi menentukan kebolehan, kemampuan dan keupayaan daripada aspek fizikal, mental, kedudukan, kewangan serta ekonomi individu yang memohon.
Katanya, kelewatan dalam memperbaharui lesen senjata api juga disebabkan beberapa faktor termasuk pemilik terlupa untuk memperbaharui lesen senjata apinya, pelesen yang tidak dapat hadir sesi ujian menembak yang ditetapkan pihak ibu pejabat polis di daerah masing-masing menjadi faktor kelewatan terutamanya di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak, serta dokumen tidak lengkap dan permohonan sedang dikaji semula.
"Bila permohonan diterima Polis DiRaja Malaysia (PDRM), pastinya prosesnya akan mengambil sedikit masa kerana kita akan lihat kembali keadaan fizikal dan kesihatan (individu) yang telah memiliki lesen sebelum ini sama ada masih layak diberikan lesen (atau tidak)," katanya ketika menjawab soalan Noorita Sual (DAP-Tenom) yang ingin tahu punca kelewatan berhubung pembaharuan lesen serta permit senjata api.
- Bernama

