Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wakil Umno, PAS keluar DUN Kedah protes Ku Abdul Rahman
Diterbitkan:  Nov 13, 2018 6:22 PM
Dikemaskini: 10:22 AM

DUN Kedah l Semua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang PAS dan Barisan Nasional (BN) Kedah hari ini bertindak keluar dewan secara serentak apabila tiba giliran Adun Guar Chempedak Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail membahaskan Rang Undang-undang Perbelanjaan Negeri 2019.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Muhammad Sanusi Md Noor berkata mereka berbuat demikian atas semangat setia kawan sebagai blok pembangkang menunjukkan protes terhadap tindakan Ku Abdul Rahman yang keluar daripada Umno untuk menyokong Pakatan Harapan (PH).

“Kita menentang budaya melompat parti dan termasuk kita menentang Pakatan Harapan yang sentiasa memujuk pembangkang sama ada di peringkat DUN dan persekutuan untuk masuk mana-mana parti dalam Pakatan Harapan untuk menguatkan parti mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di luar persidangan di Alor Setar.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, PAS Kedah memenangi 15 kerusi manakala BN menang tiga kerusi, namun persidangan DUN Kedah semalam dimaklumkan bahawa Ku Abdul Rahman keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Pengumuman itu dibuat Speaker DUN Datuk Ahmad Kassim sebaik persidangan bermula sebelum sesi soalan lisan berlangsung pagi semalam, sekali gus menjadikan DUN Kedah kini hanya mempunyai 17 Adun pembangkang.

Muhammad Sanusi berpendapat tindakan keluar parti itu satu budaya mengkhianati kepercayaan pengundi yang memilih wakil rakyat terbabit berdasarkan kapasiti dan lambang parti asalnya sebelum ini.

Sementara itu, Adun BN Sungai Tiang Datuk Suraya Yaacob berkata beliau menyambut baik kesatuan ditunjukkan Adun PAS kerana tindakan Adun Guar Chempedak dilihat seperti tidak menghormati parti dan blok pembangkang apabila keluar parti ketika sidang DUN berlangsung.

"...saya bersetuju dengan kenyataan Ketua Pembangkang semalam yang mengatakan tindakan tersebut adalah perbuatan pengecut kerana keluar parti sewaktu parti dalam kesusahan," katanya.

Dalam pada itu, Ku Abdul Rahman pada akhir perbahasannya hari ini memohon maaf kepada Suraya dan seorang lagi Adun BN, Datuk Norsabrina Mohd Noor (Bandar Baharu) atas tindakannya keluar daripada Umno.

“Ini bukan suatu keputusan yang mudah, amat sukar bagi saya...ini satu penghijrahan kepada saya, Islam menggalakkan umatnya berhijrah,” katanya.

Persidangan dewan bersambung esok.

- Bernama

Lihat Komen
ADS