Operasi antiragut fokus kawasan Dang Wangi, KL
Polis akan melancarkan Op Khas Bersepadu bagi membanteras jenayah ragut dan samun jalanan di sekitar Kuala Lumpur bermula esok.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata sejak awal tahun ini polis menerima 469 kes jenayah berkenaan yang melibatkan warga tempatan dan 252 kes melibatkan pelancong .
“Beberapa elemen daripada Jabatan Siasatan Jenayah, balai polis berkaitan, unit pelancong, kereta peronda polis (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB), termasuk peronda-peronda di kawasan terbabit akan digerakkan sepanjang operasi,” katanya pada satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata pasukan polis trafik turut digerakkan bagi memastikan pengunjung berasa selamat sekaligus mengurangkan ketakutan tentang jenayah semasa mereka berada di bandaraya Kuala Lumpur.
Mazlan berkata operasi itu akan memfokuskan kawasan daerah Dang Wangi, berikutan statistik jenayah ragut dan samun jalanan membabitkan pelancong di daerah itu menunjukkan kenaikan sebanyak 60 peratus.
“Kita akan melancarkan operasi khas ini selama sebulan untuk melihat keberkesanannya. Ia akan diteruskan sekiranya berkesan,” katanya.
- Bernama

