Paling Popular
Terkini

PEMILIHAN PKR | Calon ketua pemuda PKR Akmal Nasir mendakwa undi yang hilang dalam pemilihan parti itu adalah "secara sistematik dan terancang" bagi menjejaskan undi terhadap Rafizi Ramli yang bertanding jawatan timbalan presiden.

Jelas Akmal, sejumlah 8,926 atau 44.6 peratus undi yang hilang bagi jawatan timbalan presiden PKR berlaku di 17 cabang.

"Daripada 17 cabang tersebut, ia melibatkan sembilan cabang di Sabah dan lapan cabang di Selangor yang mana majoriti cabang-cabang ini dijangka memberi kelebihan kepada Rafizi dengan undian yang lebih tinggi berdasarkan mobilisasi dan resit yang dikeluarkan oleh kumpulan yang menyokong beliau.

"[....] Angka ini adalah terlalu besar dan tertumpu kepada cabang-cabang tertentu sahaja yang boleh menyebabkan keputusan keseluruhan Majlis Pimpinan Pusat tidak menggambarkan pilihan yang dibuat oleh anggota PKR di seluruh negara," katanya dalam sidang media di parlimen hari ini.

Akmal yang merupakan anggota parlimen Johor Bahru dan berada di dalam kem Rafizi, turut mendakwa bahawa kehilangan undi jadi lebih ketara dalam empat minggu terakhir pemilihan berlangsung - dengan lebih banyak cabang menyaksikan kehilangan lebih 20 peratus undi bagi jawatan timbalan presiden PKR.

"[....]Perbezaan yang ketara ini sehingga mencecah lebih 20,000 undi memungkinkan undi timbalan presiden dan majlis pimpinan pusat hilang secara sistematik dan terpilih," katanya.

Sembilan cabang di Sabah yang dinyatakan adalah Kota Marudu, Pensiangan (sebelum pemilihan semula), Tenom, Kudat, Tawau, Kota Belud, Silan, Kinabatangan dan Semporna.

Lapan cabang di Selangor yang dimaksudkan pula adalah Kuala Langat, Puchong, Selayang, Klang, Kapar, Hulu Selangor, Hulu Langat dan Shah Alam.

Malaysiakini sedang menghubungi jawatankuasa pemilihan pusat (JPP) untuk mengulas perkara itu.

Ketika ditanya selepas sidang media itu berhubung pihak yang dirasakannya bertanggungjawab, Akmal berkata dia tidak mahu menyebut nama tertentu kerana "perlu adil dengan semua orang".

"Setelah fakta diperoleh, pimpinan parti perlu memberi arahan untuk siasatan telus diadakan - bukan hanya untuk menemukan dalang,

"Bagi kami, ini adalah parti kami. Kami tak mahu buat masalah, tapi kami mahu menjadikan parti lebih kukuh sebagai keluarga," katanya menambah bahawa semua penemuan akan diserahkan kepada biro politik PKR malam ini.

 

Lihat Komen
ADS