Liew berdepan 'kejutan' bagi jawatan pengerusi DAP Johor
Berbeza dengan dakwaan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong bahawa beliau tidak berdepan sebarang cabaran, Malaysiakini sebaliknya difahamkan, exco Tan Hong Pin tampil sebagai pencabar dalam pemilihan Ahad lalu.
Menurut sumber parti, Liew, yang mempertahankan jawatannya bagi penggal ketiga, tidak menjangkakan Tan akan tampil mencabar beliau.
Liew juga dikatakan tidak menjangkakan Tan bekerjasama dengan bekas pengerusi DAP Johor Boo Cheng Hau.
Pemilihan DAP mempunyai dua peringkat. Pada peringkat pertama, perwakilan kawasan memilih anggota jawatankuasa negeri. Anggota jawatankuasa negeri pula kemudian akan memilih pimpinan negeri yang terdiri daripada 15 anggota.
Tan menyertai DAP pada 2004 dan berkhidmat sebagai pembantu Boo bagi beberapa tahun. Bagaimanapun, hubungan mereka renggang selepas pilihan raya umum (PRU) ke-13.
Pada pemilihan DAP Johor 2014, Liew bertanding melawan Boo bagi jawatan pimpinan negeri dan Tan menyokong Liew ketika itu.
Sejak itu, kerjaya politik Boo dilihat semakin suram.
Bagaimanapun, beliau berjaya memenangi kerusi anggota jawatankuasa negeri kali ini selepas gagal pada 2015, dan pada 2017 kalah dalam mempertahankan jawatan sebagai anggota jawatankuasa pusat (CEC) dalam pemilihan semula DAP pada 2017.

Pada pemilihan sebelum ini, DAP meletakkan Tan (gambar) dan bukannya Boo yang merupakan bekas ADUN Skudai, bagi kerusi berkenaan. Ia menyebabkan hubungan antara Boo dan Tan semakin renggang.
Sumber parti berkata, bekas ADUN Bekok, Lim Eng Guan mencalonkan Tan bagi jawatan pengerusi DAP Johor, yang kemudian disokong Boo.
Liew memperoleh lapan undi berbanding Tan yang memperoleh empat undi. Tiga yang lain berkecuali.
Bagaimanapun, beberapa sumber memaklumkan Malaysiakini bahawa sekiranya pemilihan diadakan secara undi rahsia dan bukannya mengangkat tangan, Tan dikatakan mungkin membuat kejutan.
Selepas gagal mengalahkan Liew, Tan bertanding bagi jawatan setiausahan negeri dan mengalahkan penyandang jawatan itu, yang juga merupakan spekaer DUN, Gan Peck Cheng. Gan dicalonkan oleh Liew.
Atas permintaan Boo, pengundian dilakukan dengan kotak undi rahsia.
"Tan menang besar. Jika saya tidak silap, dia menang sembilan undi berbanding Gan yang hanya dapat lima undi.
"Ada beberapa undi rosak. Jadi jika pemilihan untuk pengerusi negeri juga diadakan secara undi rahsia, Tan mungkin mendapat lebih banyak undi," kata salah seorang sumber.
Malaysiakini difahamkan bahawa lapan pemimpin DAP yang menyokong Liew adalah menteri Yeo Bee Yin, timbalan menteri Teo Nie Ching, Exco Liow Cai Tung dan Sheikh Omar Ali, Anggota Parlimen Kluang Wong Shu Qi, Gan dan dua ADUN iaitu Ee Chin Li dan Tan Chen Choon.
Sementara pemimpin DAP yang menyokong Tan adalah Cheo Yee How dan Ng Yak Howe, selain Lim dan Boo.
Selain Tan dan Liew yang berkecuali, ADUN Yeo Tung Seong juga memilih untuk tidak mengundi.

Calon yang disokong Liew (gambar) juga dikalahkan oleh calon yang dikaitkan dengan Tan bagi jawatan lain. Sumber percaya bahawa pengerusi negeri ketika ini tidak mempunyai kuasa penuh ke atas jawatankuasa.
"Liew mencalonkan Gan bagi jawatan setiausaha negeri namun kalah.
"Liew mencalonkan Wong sebagai setiausaha organisasi namun jawatan itu dimenangi oleh Ng dan semua orang tahu Ng berada dalam kem Tan," kata sumber.
Sumber juga menggambarkan bahawa pemilihan parti sebagai "kepulangan Boo dan anak muridnya".
"Anak-anak murid itu pernah direkrut Liew. Bagaimanapun, mereka kembali kepada Boo mungkin kerana hubungan mereka dengan Liew tidak baik ketika ini," kata sumber.
Bagaimanapun, seorang penyokong Liew tidak bersetuju dengan dakwaan itu dan mendakwa Boo dan mereka yang dikaitkan dengannya sebagai tidak mempunyai prinsip.
Liew dan tan enggan mengulas ketika dihubungi.

