Najib sindir cadangan perkenal Harapan Coin
Bekas perdana menteri Najib Razak mempersoalkan berhubung mata wang kripto Harapan Coin yang dicadangkan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad.
"Harapan Coin? Sangat kreatif idea pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) kebelakangan ini.
"Kalah segala makhluk dan kehidupan di alam semesta ini.
"Tak habis lagi cerita Skim FundMyHome yang diragui asal-usul dan manfaatnya, timbul pula cerita Harapan Coin.
"Saya belek laman web-nya, dia kata 'berpotensi jadi mata wang rasmi jika PH menang pilihan raya'.
"Bahagian penerangan juga penuh dengan retorik dan justifikasi yang tak berasas," katanya dalam kenyatan di Facebook hari ini.
Sebelum ini, Khalid berkata beliau akan mencadangkan Harapan Coin, sebagai platform yang menggunakan teknologi mata wang kripto dan blockchain, kepada Bank Negara Malaysia dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Beliau juga menjelaskan bahawa mata wang kripto itu akan boleh digunakan bagi transaksi seperti bayaran lesen, saman dan banyak lagi.
Najib bagaimanapun menyifatkan perkara itu sebagai pelik.
"Makin saya belek makin nampak pelik, lagi pelik bila saya perasan ia dikaitkan dengan Khalid.
"Adakah Bank Negara akan bersetuju dengan Harapan Coin ini dan mengiktirafnya sebagai mata wang rasmi?
"Begitu bersungguh-sungguh dia mahukan ini. Mengapa? Siapa sebenarnya yang untung daripada skim macam ini?
"Saya juga amat risau dengan kenyataan Khalid bahawa Harapan Coin juga boleh digunakan dalam transaksi dengan kerajaan seperti pembayaran lesen, saman dan sebagainya. Apa agenda Khalid?
"Benda-benda pelik dan menimbulkan kemusykilan macam FundMyHome dan Harapan Coin ini yang dapat perhatian lebih daripada kerajaan PH," katanya.

