Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tak layak lagi dipanggil reformis? Pemimpin PKR jawab Ambiga

Beberapa pemimpin PKR tampil mempertahankan parti mereka setelah diselar sebagai tidak lagi layak menggelar diri mereka sebagai reformis.

Kritikan keras bekas pengerusi BERSIH S Ambiga melalui ciapan Twitternya kelmarin berikutan masalah demi masalah yang timbul dalam pemilihan PKR yang berlangsung.

Bagi anggota parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Mohd Akin (atas), kritikan tersebut tidak sesekali melemahkan semangat ahli PKR untuk terus menjunjung semangat reformasi.

“Sebagai tokoh yang amat dekat dengan BERSIH kita hormati pandangan beliau.

“Saya tidak fikir itu akan melemahkan semangat kita (PKR) untuk terus lakukan reformasi,” katanya yang juga merupakan naib presiden PKR.

Dalam ciapannya, Ambiga berkata PKR tidak lama lagi tidak layak menggunakan gelaran parti reformis.

 Ciapan itu ditulis selepas beliau memuat naik satu ciapan terdahulu yang menyindir pertambahan ahli PKR yang meningkat seramai 13,000 orang dalam masa sehari.

“PKR jangan ingat majoriti rakyat Malaysia tak tahu apa yang berlaku pada pemilihan parti mereka. Rakyat adalah rakyat yang sama yang melihat ketidakjujuran kerajaan terdahulu dan telah menyingkirkan mereka. Peningkatan 13,000 ahli dalam satu hari? Really?” ciapnya.

Bagi pengarah komunikasi PKR Fahmi Fadzil (atas), adalah tidak adil jika hukuman dijatuhkan berdasarkan satu sudut pandang sahaja.

“Bukan di Julau sahaja, tetapi juga di beberapa cabang lain termasuk Lembah Pantai yang mengalami peningkatan ahli mendadak selepas pilihan raya umum (PRU). Jadi sebenarnya berlaku di cabang-cabang lain juga.

“[...]Saya hormat pandangan Ambiga, tapi isu lebih besar daripada itu kita sedang usaha membaiki proses pemilihan [...]. Saya rasa tak adil untuk jatuhkan hukum daripada satu sudut pandang sahaja,” katanya.

Tambah anggota parlimen Lembah Pantai itu lagi, pandangan Ambiga itu merupakan peringatan kepada PKR bahawa rakyat sentiasa melihat.

“Saya akan hubungi Ambiga dan menjelaskan perkara ini sebab kami lihat beliau telah lama bukan ahli parti tapi (tetap) bersama dalam usaha membaiki negara,” tambahnya lagi.

Lihat Komen
ADS