LAPORAN KHAS | Keadilan bagi mangsa jenayah dan keluarga mereka adalah salah salah satu hujah yang kuat bagi penyokong hukuman mati mempertahankan undang-undang tersebut.

Bagaimanapun, adakah hutang darah dibayar darah memadai atau merupakan satu cara yang lebih mudah untuk mendapatkan keadilan, berbanding membetulkan kecacatan dalam sistem kehakiman pada masa ini?

Ada yang masih menyokong hukuman mati kerana percaya sistem undang-undang kini menyediakan perlindungan yang secukupnya untuk mengelakkan salah laksana keadilan (Miscarriage of justice). 

Bagaimanapun, sesetengah pihak mempersoalkan sistem berkenaan.

Walau apapun, bagaimana keadilan bagi mangsa jenayah dan keluarga mereka akan dapat dipertahankan apabila hukuman mati dimansuhkan?

Bolehkah kita menyediakan sistem sokongan yang mencukupi untuk mereka? Apakah sistem sokongan yang diperlukan? Ini adalah soalan penting yang perlu ditangani, termasuk oleh mereka yang menyokong penghapusan hukuman mati.

Amnesty International-Malaysia (AI-M) terlibat secara aktif dalam gerakan penghapusan hukuman mati selama beberapa dekad.

Pada tahun 2010, bersama-sama aktivis lain, ia menjalankan kempen bagi menyelamatkan pengedar dadah dari Malaysia, Yong Vui Keong daripada  dihukum gantung di Singapura.

Selepas berjuang selama empat tahun, hukumannya dikembalikan kepada penjara seumur hidup.

Sebagai respons terhadap perbahasan mengenai pemansuhan undang-undang tersebut baru-baru ini, AI-M menyedari bahawa ada pihak berhujah agar hukuman mati dikekalkan.

Pengarah eksekutifnya Shamini Darshni Kaliemuthu memberitahu Malaysiakini bahawa pendirian menentang hukuman mati bukan bermaksud menentang mangsa jenayah.

"Biar saya jelaskan bahawa pendirian anti hukuman mati bukan untuk meremehkan kehilangan dan penderitaan keluarga mangsa," tegas Shamini.

Beliau menegaskan bahawa hukuman mati sering digunakan dalam sistem keadilan yang cacat dan berpendapat "tiada sistem keadilan jenayah sempurna".

Sebagai contoh, ketiadaan peguam yang baik dan berkemahiran boleh menjejaskan kualiti penghakiman manakala pengakuan yang dibuat secara paksa bukan sesuatu yang baru selain kurangnya kebebasan melibatkan pakar forensik dan pakar-pakar lain.

Faktor-faktor ini boleh membawa kepada orang yang tidak bersalah dijatuhi hukuman, seperti individu yang paling lama dipenjara di dunia, Iwao Hakamada dari Jepun, yang menghabiskan masa 45 tahun menunggu hukuman mati.

Bekas petinju profesional itu dihukum mati pada 1968 kerana didakwa membunuh seorang eksekutif syarikat dan keluarganya.

Dia mendakwa pengakuannya dibuat hasil soal siasat ganas oleh polis termasuk dipukul ketika dalam siasatan.

Hakamada dibebaskan pada tahun 2014 selepas semakan semula mendapati polis mungkin mereka-reka bukti. 

Bagi membersihkan namanya, Hakamada yang kini berusia 82 tahun telah memfailkan rayuan dengan Mahkamah Tinggi Tokyo.

Berbanding Amerika Syarikat, orang awam dengan mudah boleh mendapatkan data mengenai pesalah yang dihukum mati berdasarkan negeri, kaum dan jantina. Senarai penuh banduan yang dijatuhi hukuman mati atau menunggu hukuman juga boleh didapati.

Justeru Shamini mempersoalkan keengganan pihak berkuasa Malaysia mendedahkan data serupa kepada orang awam.

"Di Malaysia, pihak berkuasa kurang telus dalam memberitahu data hukuman mati, yang bermaksud kita tidak akan tahu sama ada seseorang yang tidak berdosa telah dihukum pada masa lalu. Hujahnya ialah: jika hukuman mati berkesan, maka kenapa pihak berkuasa Malaysia ragu untuk mendedahkan lebih banyak data komprehensif?"

Adakah pampasan memadai?

Bagi Shamini, "hukuman mati tidak lebih daripada pembunuhan yang dibenarkan oleh negara", terutama apabila sesuatu hukuman yang telah dijatuhkan tidak dapat ditarik balik. 

Oleh itu, penghapusan hukuman mati adalah pendekatan kritikal untuk mengelakkan salah laksana keadilan.

Beliau menegaskan para banduan masih perlu menjalani hukuman tetapi ia sama pentingnya untuk mengkaji makna "hukuman yang wajar dan bersesuaian" supaya mangsa tidak dikecewakan oleh sistem keadilan.

Baru-baru ini, kerajaan mempertimbangkan untuk memperkenalkan dana pampasan bagi mengurangkan beban mangsa penjenayah dan keluarga mereka. 

Cadangan itu dikritik oleh beberapa pihak yang menganggap ia merupakan penghinaan kepada mangsa dan keluarga mereka.

Namun bagi penyokong pemansuhan hukuman mati, mereka percaya dana sedemikian adalah permulaan yang baik untuk mengubah paradigma daripada undang-undang yang menghukum kepada pemulihan.

Samantha Chong (gambar), peguam dan bekas timbalan pendakwa raya yang pernah menyokong hukuman mati, memberitahu Malaysiakini bahawa keluarga mangsa harus menerima pampasan yang wajar dari segi kewangan.

Ini untuk memastikan mereka dapat meneruskan kehidupan, terutamanya kanak-kanak yang mungkin tidak mempunyai sokongan kewangan yang mencukupi untuk membiayai pelajaran mereka.

"Saya tidak mengatakan wang boleh membayar ganti rugi kepada semua. Saya perlu menegaskan bahawa wang tidak boleh menyembuhkan luka atau mengembalikan kehilangan nyawa.

"Melainkan kita kehilangan seseorang, kita tidak akan faham perasaan mereka. Mereka yang mengulas di Facebook bukan dalam kedudukan untuk bercakap bagi pihak mangsa. Mereka hanya bercakap apa sahaja yang mereka fikirkan betul," kata Chong.

Beliau menegaskan hukuman mati bukan untuk melindungi mangsa dan keluarga mereka. Lebih penting lagi, beliau menegaskan pampasan kewangan bukan satu-satunya inisiatif yang ada.

Menurutnya, sistem sokongan dan pemulihan yang mencukupi adalah sama penting.

"Kita perlu melihat gambaran yang lebih besar. Kesakitan hanya dapat dilepaskan sekiranya sokongan emosi, psikologi, kaunseling dan bantuan perundangan diberikan kepada keluarga mangsa. Ini adalah keperluan untuk menyokong keluarga mangsa."

Oleh itu sistem sokongan untuk keluarga mangsa seharusnya dilaksanakan dengan segera, tambah beliau.

[Baca laporan penuh]