Ibu bekas menteri, Allahyarham Jamaludin Jarjis, yang terkorban dalam nahas helikopter pada 2015, hari ini memfailkan penyataan pembelaan terhadap tuntutan harta sepencarian yang dikemukakan balu Jamaludin.

Peguam Syarie Nur Hidayah A Bakar yang mewakili Aminah Abdullah memaklumkan demikian selepas prosiding pengurusan kes di dalam kamar Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Siti Zulaiha.

“Hari ini hanya untuk failkan penyataan pembelaan terhadap tuntutan harta sepencarian oleh balu allahyarham, Dr Kalsom Ismail.

"Akan datang kita akan memfailkan afidavit jawapan kepada permohonan bantahan awal yang dibuat balu dan anak-anak allahyarham terhadap permohonan sijil faraid,” kata peguam itu.

Nur Hidayah berkata mahkamah menetapkan 7 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan bagi memfailkan afidavit jawapan terhadap bantahan awal sijil faraid tersebut.

Pada prosiding hari ini, hanya adik tiri Jamaludin, Mohamad Najeb Ali, kelihatan di mahkamah manakala Aminah, balu Jamaludin dan anak-anaknya tidak hadir.

Balu Jamaludin diwakili peguam syarie Shamsuriah Sulaiman manakala empat anaknya diwakili peguam syarie Zuri Zabuddin Budiman.

Sementara itu ketika dihubungi, peguam syarie Kamar Ainiah Kamaruzaman yang juga mewakili Aminah berkata balu allahyarham memfailkan tuntutan harta sepencarian itu kira-kira sebulan lalu namun tidak menyatakan perincian harta tersebut.

Pada 2 Mac lalu, Aminah, 84, selaku pemohon memfailkan permohonan mendapatkan sijil faraid untuk pembahagian harta Jamaluddin yang dianggarkan bernilai lebih RM2 bilion mengikut Seksyen 46(ix) Akta Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.

Jamaludin yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke AS meninggalkan seorang balu iaitu Kalsom, 62, dan empat anak mereka iaitu Ikwan Hafiz, 31; Nur Anis, 33; Nurul Alyaa, 27; dan Noor Adilla, 23.

Pada 4 April 2015, Jamaludin, yang ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima yang lain terbunuh apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.

Turut maut juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier, ketua setiausaha sulit kepada Najib Razak, Datuk Seri Azlin Alias; ahli perniagaan Tan Huat Seang; pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran, serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva.

- Bernama