Semalam ada anggota parlimen PAS mendakwa Dewan Rakyat jadi "sunyi" dan "sangat nyaman" ketika Abdul Hadi Awang menyampaikan ucapannya membahaskan Belanjawan 2019.
Hari ini pegawai Abdul Hadi menyenaraikan tokoh terkemuka antarabangsa yang ditemui presiden PAS berkenaan semasa bermusafir ke Turki baru-baru ini.
Menurut Setiausaha Akhbar Presiden PAS Abdul Malik Ab Razak, Abdul Hadi memenuhi jadualnya yang padat untuk bertemu ulama dan pemimpin sepanjang tempoh berada di Turki antara 2 hingga 9 Nov lalu.
Kata Abdul Malik, antara tokoh terkemuka yang ditemui Abdul Hadi ialah:
- Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan
- Bekas presiden Abdullah Gul,
- Bekas perdana menteri dan menteri luar Ahmet Davutoglu
- Presiden Parti Saadet, Temel Karamollaoglu
- Jurucakap presiden Turki Ibrahim Kalin
Menurut Abdul Malik pertemuan Abdul Hadi dengan tokoh berkenaan berlangsung dengan penuh mesra dan muhibah.
Katanya semasa bertemu Ahmet misalnya kedua-dua tokoh terbabit berbincang mengenai hal ehwal semasa dunia Islam selain bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan politik di Malaysia dan Turki.
"Abdul Hadi turut menghadiri dan membentangkan kertas kerja dalam beberapa seminar dan program," katanya.
Antara program disertai Abdul Hadi yang disenaraikan Abdul Malik ialah menyampaikan ucapan utama majlis pertemuan dengan pemimpin gerakan Islam, menjadi panel forum anjuran Persidangan Antarabangsa Ahli-Ahli Parlimen Islam (IFIP) dan menyampaikan syarahan perdana “Masa Depan Islam: Cabaran dan Penyelesaian” di depan lebih 100 ahli akademik, tokoh politik, pemimpin masyarakat dan mahasiswa di Ankara.
Dewan Rakyat terdiam, nyaman
Sebelum ini salah seorang ahli politik Malaysia yang beberapa kali memetik nama Erdogan ialah anggota parlimen Port Dickson, Anwar Ibrahim.
Untuk rekod Abdul Hadi berkunjung ke Turki untuk menghadiri muktamar Kesatuan Ulama Islam Sedunia yang dirasmikan ilmuan terkemuka Dr Yusuf al-Qaradawi.
Selain Abdul Hadi persidangan itu turut dihadiri wakil dari Parti Amanah.
Semalam Anggota Parlimen Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman berkata berlaku suasana kelam-kabut di Dewan Rakyat apabila wakil kerajaan dan BN bertikam lidah hinggakan speaker "terkapai-kapai" untuk mengawal keadaan.
"Apabila tiba giliran Tuan Guru Presiden bangun membentangkan bahas belanjawan 2019, dewan menjadi sunyi dan sangat nyaman.
"Semua pihak mendengar dengan penuh khusyuk kalam Tuan Guru Presiden.
"(Keadaan itu) seakan anak- anak mendengar taujihat daripada sang ayah. Penuh teliti dan menarik hati," catat Abdul Latiff di media sosial.
Katanya lagi suasana menjadi gamat apabila Abdul Hadi memberi amaran kepada kerajaan supaya tidak mengiktiraf Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).
"Ramai MP (anggota parlimen) bertakbir menyokong.
"Seusai ucapan perbahasan, Tuan Guru diberi ucapan tahniah, ramai yang mengambil peluang bersalam dan bergambar. Jelas tergambar kepuasan di jiwa masing-masing," katanya.
