Rosmah dijangka didakwa jam 3 petang, esok - peguam
Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dilaporkan telah meninggalkan ibu pejabat SPRM di Putrajaya selepas memberi keterangannya selama kira-kira tiga jam, hari ini.
Peguamnya K Kumaraendran yang ditemui selepas mengiringi Rosmah berkata anak guamnya diarahkan hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur jam 3 petang esok.
Kumaraendran bagaimanapun enggan menyatakan apa soalan yang diajukan kepada Rosmah dan sama ada jika beliau akan didakwa berkaitan kes pembekalan tenaga solar di sekolah-sekolah di Sarawak.
"SPRM sudah selesai merakamkan kenyataannya, dan dia sudah pulang pada jam 2.35 petang tadi.
“Saya tidak mahu mengambil apa-apa soalan, cuma boleh sahkan anak guam saya akan didakwa di mahkamah Jalan Duta esok,” katanya.
Rosmah tiba di ibu pejabat SPRM pada 11.40 pagi dilihat meninggalkan kawasan itu kira-kira 2.35 petang selepas selesai memberi keterangan dipercayai berkaitan kes pembekalan tenaga solar tersebut.
Menurut sumber SPRM, notis memerintahkan Rosmah hadir telah diserahkan semalam.
Pada awal Jun lalu, sebuah portal berita melaporkan kemungkinan wujud penyelewengan dalam pemberian kontrak projek hibrid solar bernilai RM2.5 bilion di Sarawak yang didakwa diberikan melalui penganugerahan kontrak secara terus di bawah arahan seorang bekas pemimpin tertinggi negara.
Pemimpin berkenaan turut didakwa mengarahkan Kementerian Pendidikan pada Januari tahun lepas agar melantik sebuah syarikat perniagaan kereta sewa di Bintulu bagi projek hibrid solar untuk 369 sekolah pedalaman di Sarawak.

