Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
RM19b GST 'hilang': PAC selesai siasat, Guan Eng saksi terakhir

Soal siasat Jawatankuasa Kira-kira Wan Negara (PAC) berkenaan dakwaan kehilangan tunggakan bayaran balik GST berjumlah RM19.4 bilion dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebagai saksi terakhir.

Pengerusi PAC Dr Ronald Kiandee berkata, laporan siasatan akan disiapkan paling lewat pada awal tahun depan.

"Lim merupakan saksi terakhir, selepas ini kita akan bermesyuarat semula dan membuat rumusan untuk dilaporkan kepada parlimen," katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen hari ini.

Ketika ditanya sama ada PAC ada menemui sebarang salah laku, Kiandee enggan mengulasnya sebelum kesimpulan akhir dibuat.

"Kita akan duduk dan meneliti butiran, bukti dan dokumen yang diberikan. Kita telah memanggil tujuh saksi."

Siasatan itu susulan dakwaan Lim bahawa pentadbiran BN 'merompak' bayaran balik GST yang sepatutnya dipulangkan kepada peniaga, selepas audit dalaman dan pemeriksaan kastam mendapati sejumlah RM19.4 bilion hilang daripada tabung bayaran balik GST.

Najib bagaimanapun menyangkal dakwaan itu dan berkata kutipan GST dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Amanah Disatukan Kerajaan, bersama-sama pendapatan negara dan hasil cukai lain.

Sementara itu, Lim ketika ditemui pemberita selepas memberi keterangan kepada PAC berkata, beliau terkejut apabila PAC pada mulanya beranggapan wang itu masih ada.

"Saya fikir PAC faham dengan penjelasan yang diberikan. Mereka (PAC) ada tanggapan yang silap bahawa duit RM19.4 bilion itu masih ada, tetapi kita akan ketahuinya juga akhirnya.

"Kami beritahu (duit itu) tak ada...Jika masih ada kendurilah saya. Kita tak perlu ambil dari Petronas," katanya lagi.

Beliau merujuk pembayaran dividen khas RM30 bilion daripada Petronas kepada kerajaan persekutuan, seperti yang diumumnya ketika pembentangan Belanjawan 2019. 

Lihat Komen
ADS