MB Negeri Sembilan: Rafizi ganti saya? itu keputusan nakal
Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun menolak spekulasi bahawa Rafizi Ramli akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dan menggantikannya sebagai nakal.
Portal Utusan Malaysia hari ini memetik Aminuddin sebagai berkata bahawa naib presiden PKR itu mempunyai peranan lebih besar dan tidak wajar hanya menjadi pemimpin di peringkat negeri.
"Keputusan mahkamah berhubung kemungkinan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau belum keluar tetapi sudah ada macam-macam spekulasi.
"Saya bukan sayangkan jawatan. Saya sedia beri jawatan kalau itu kehendak pimpinan.
"Tetapi saya rasa kalau Rafizi diletakkan sebagai menteri besar Negeri Sembilan, itu adalah keputusan nakal kerana beliau sepatutnya mempunyai peranan lebih besar, bukan sekadar menjadi pemimpin negeri," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Seremban, hari ini.
Aminuddin mengulas spekulasi kononnya bahawa Rafizi akan dinamakan sebagai calon Pakatan Harapan sekiranya mahkamah memutuskan PRK DUN Rantau perlu diadakan semula susulan petisyen difailkan calon PKR, Dr S Streram terhadap keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Kerusi DUN itu dimenangi tanpa bertanding oleh calon BN, Mohamad Hasan yang juga adalah timbalan presiden Umno pada PRU14 selepas Streram dihalang masuk ke pusat penamaan calon.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, beliau mempunyai dua atau tiga calon yang difikirkan sesuai dan tidak menolak anak tempatan akan diletakkan sebagai calon, namun menyerahkannya kepada pucuk pimpinan parti.

