Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Equanimity, kapal layar mewah yang dikaitkan dengan skandal 1MDB tiba di Langkawi hari ini untuk tujuan simpanan sementara selepas belayar dari Pelabunan Klang, semalam.

Kapal sepanjang 92 meter itu kini berlabuh di Pangkalan Markas Wilayah Laut Tiga (Mawilla 3) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bukit Malut, kata Ketua Polis Daerah Langkawi Supt Mohd Iqbal Ibrahim.

“Dua buah bot peronda polis iaitu PA45 dan PSC18 bersama sebuah kapal perang TLDM, KD Teguh telah mengiringi kapal layar itu sepanjang perjalanan sebelum tiba di sini jam 10.35 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut tempoh masa kapal mewah itu akan berada di situ dan hanya menyatakan ia akan dikawal oleh TLDM di pangkalan mereka.

Ketibaan kapal itu turut menarik minat orang ramai selepas foto ia berlabuh di jeti pangkalan TLDM di sini tular di media sosial.

Pada 26 Oktober lepas,Mahkamah Admiralti meluluskan terma dan syarat bagi proses bidaan bagi kapal berkenaan yang telah bermula 29 Oktober lepas dan akan berakhir pada 28 November ini.

Peguam Ong Chee Kwan,yang mewakili 1MDB, telah menyatakan mereka yang berminat untuk membida kapal itu perlu membayar deposit sebanyak AS$1 juta (RM4.17 juta).

Pada 19 Oktober lepas, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan kapal mewah Equanimity sebagai milik kerajaan Malaysia dan 1MDB selepas pemilik berdaftar gagal hadir menuntut kapal itu dan kerajaan kini boleh menjual kapal itu.

Kapal mewah yang dinilai berharga AS$250 juta (RM1.42 bilion) itu dikatakan telah dibeli oleh seorang ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low, dengan menggunakan dana dari 1MDB.

Ia telah disita di Bali, Indonesia pada Februari lepas sebelum kerajaan negara itu menyerahkannya kepada kerajaan Malaysia, Ogos lepas.

-Bernama

Lihat Komen
ADS