Unicef: Tiada kanak-kanak yang patut rasa takut ke sekolah
Unicef menyatakan kebimbangan berhubung dakwaan mengatakan ada guru yang menawarkan gred atau kedudukan yang baik kepada pelajar jika melakukan hubungan seks dengan mereka.
"Sebarang pencabulan seksual terhadap kanak-kanak adalah pencabulan serius terhadap hak mereka.
"Apabila ia dilakukan oleh guru di sekolah, ia juga penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah. Kelakuan seperti itu mencemarkan sistem pendidikan.
"Guru sepatutnya menjadi contoh teladan dan menggalakkan perkembangan dan pembelajaran murid. Tiada kanak-kanak yang harus rasa takut untuk ke sekolah," kata wakil Unicef Malaysia Marianne Clark-Hattingh dalam kenyataan.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Shukri Abdull mendedahkan kes seumpama itu ada berlaku di negara ini.
Namun, beliau berkata pihaknya tidak boleh bertindak memandangkan murid yang terlibat enggan tampil ke depan kerana bimbang identiti terdedah.
Susulan itu, Menteri Pendidikan Maszlee Malik berikrar akan melindungi mangsa yang membuat laporan dalam kes seumpama itu.
Clark-Hattingh berkata lagi, PBB, NGO dan syarikat swasta sudah mengadakan kerjasama dengan kerajaan untuk memberdaya kanak-kanak agar dapat melindungi diri daripada pencabulan seksual.
"Tetapi jelas yang lebih banyak yang perlu dilakukan," katanya lagi.

