Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jaip: Masjid jangan bergantung pada derma saja

Semua masjid di Pahang digesa meningkatkan taraf ekonomi sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada derma dan bantuan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Datuk Syed Ahmad Fuad Syed Taha berkata, pelbagai cara boleh dilaksanakan dalam mengisi dana dan tidak seharusnya terikat dengan program kerohanian semata-mata.

"Pihak masjid boleh menganjurkan pelbagai aktiviti untuk menjana pendapatan masjid dengan menggunakan kepakaran yang dimiliki oleh anggota kariah mereka.

"Tidak dinafikan program bersifat kerohanian penting untuk menjadi asas pembangunan ummah tetapi faktor lain seperti muamalat dan ekonomi turut memainkan peranan penting," katanya.

Syed Ahmad Fuad berkata demikian pada Program Kemilau Masjid Gemilang Pahang di Masjid Sultan Ahmad Shah di Kuantan, hari ini.

Beliau menambah kepimpinan masjid juga perlu merangka polisi dan rancangan yang jelas bagi memastikan usaha meningkatkan ekonomi masjid mereka berjalan lancar.

Usaha untuk meningkatkan ekonomi ini juga, menurut Syed Ahmad Fuad perlu dilakukan secara seimbang dan berhati-hati.

"Kita tidak mahu pihak masjid terlalu bergantung kepada bantuan semata-mata tetapi dalam masa sama kita tidak mahu berlebih dalam mencari wang.

"Kita juga tidak mahu terlalu mengejar program menjana keuntungan sehingga mengabaikan aspek kebajikan," katanya.

Pada majlis itu, sebanyak 35 masjid di seluruh negeri ini turut menerima anugerah Penarafan Masjid Gemilang Pahang atas pencapaian mereka.

-Bernama

Lihat Komen
ADS