Rosmah Mansor yang merupakan isteri kepada bekas perdana menteri dan pembantunya, Rizal Mansor dijangka didakwa di mahkamah hari ini berhubung dakwaan penglibatan mereka dalam projek hibrid solar d bagi sekolah di Sarawak, kata sumber.

Beberapa sumber yang rapat dengan perkara itu memaklumkan Malaysiakini bahawa Rosmah dan Rizal didakwa membantu dalam mendapatkan projek itu bagi pihak ketiga.

Mereka dijangka berdepan beberapa dakwaan di bawah Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, kata salah seorang sumber.

"Dalam kes ini, kesalahan (didakwa dilakukan Rosmah dan Rizal) adalah kerana mengatur projek itu untuk diberikan kepada pihak ketiga.

"Di bawah akta itu, adalah satu kesalahan bagi sesiapa memainkan peranan sebagai orang tengah bagi pihak lain bagi mendapatkan kelulusan (projek)," kata sumber.

Pegawai penyiasat kanan berkata Rosmah akan didakwa dengan dua pertuduhan menerima suapan, sementara Rizal berdepan tiga atau empat pertuduhan.

Bagaimanapun, sumber enggan menyatakan jumlah sebenar pertuduhan atau mendedahkan suapan yang terlibat dan menjelaskan bahawa perincian itu akan dibacakan di mahkamah.

Sumber berkata, walaupun kes itu hanya melibatkan satu projek, jumlah pertuduhan akan berdasarkan berapa kali Rosmah dan Rizal didakwa meminta dan menerima rasuah.

Semalam, SPRM dilapor mengarahkan Rosmah dan Rizal hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pukul 2.30 petang hari ini.

Dalam kenyataan semalam, SPRM berkata Rosmah dan Rizal akan berdepan dakwaan berhubung siasatan pembekalan dan pemasangan teknologi kuasa solat bagi sekolah-sekolah di Sarawak.

Malaysiakini pada Jun lalu mendedahkan Kementerian Pendidikan di bawah pentadbiran BN menganugerahkan projek hibrid solar untuk 369 sekolah pedalaman di Sarawak kepada syarikat berpusat di Bintulu atas "arahan langsung" daripada Najib.

Projek berkenaan dikatakan bernilai RM1.25 bilion.

[Baca berita asal]