Kalau betul nak Zahid berundur, buat resolusi - Nazri
Sekiranya anggota Umno betul-betul mahu presidennya Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan, mereka boleh membuat resolusi bagi tujuan itu, berpandukan perlembagaan parti.
Menurut ahli parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Abdul Aziz, biarpun Ahmad Zahid mempunyai hak untuk tidak mengambil cuti, anggota parti boleh melakukan gerakan di peringkat akar umbi bagi memintanya mengundurkan diri.
“Kena ingat, dia (Zahid) dipilih oleh perwakilan parti.
“Jadi jika Umno betul-betul mahu (Zahid mengundur diri), mereka hanya perlu lakukan gerakan di peringkat akar umbi untuk resolusi meminta Zahid pergi,” katanya.
Nazri merujuk kepada Fasal 9.12 perlembagaan Umno yang menyatakan bahawa jawatan ahli-ahli majlis tertinggi termasuk presiden dan timbalan presiden boleh dilucutkan oleh perhimpunan agung khas dengan undian tidak kurang daripada dua pertiga daripada jumlah bilangan ahli yang berhak hadir.
Pada 25 Oktober lalu, Pemuda Umno menggesa Ahmad Zahid mengambil cuti daripada jawatan presiden supaya dapat memberi sepenuh perhatian terhadap kesnya di mahkamah.
Gesaan itu berikutan Ahmad Zahid didakwa dengan 45 tuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan menerima suapan berjumlah lebih RM42 juta serta 27 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah lebih RM72 juta.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata bahawa isu percutiannya tidak dibincangkan semasa Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno 9 Nov lalu.
Ketika ditanya pendirian peribadinya terhadap desakan untuk Zahid berundur, Nazri berkata Umno tidak perlu terlalu cuba untuk 'tunjuk baik’.
“Dulu, ada pemimpin di pihak kerajaan sekarang yang terlibat dalam kes (mahkamah) tertentu, tapi mereka tak pernah letak jawatan.
“Kenapa kita nak 'tunjuk baik’ sangat? Kebiasaannya memang mereka tak letak jawatan,” katanya lagi.

