Mayat seorang lelaki yang telah membengkak dijumpai di sebuah kabin bot lama di Jeti Ah Liang, dekat Endau, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Mersing Supt Cyril Edward Nuing berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada 1.15 tengah hari mengenai satu mayat lelaki dijumpai dalam kabin bot yang tidak lagi digunakan berhampiran jeti nelayan.

Hasil pemeriksaan mendapati mayat tersebut telah membengkak dan dalam keadaan terlentang tidak memakai baju dan hanya berseluar jeans biru tetapi tiada pengenalan diri ditemui.

Menurutnya dalam satu kenyataan, polis juga tidak menemui sebarang kesan cedera akibat pergelutan atau perbuatan khianat pada tubuh lelaki berkenaan yang berumur lingkungan 30-an.

Hasil siasatan awal juga mendapati lelaki itu meninggal dunia dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah berikutan penemuan peralatan yang dipercayai digunakan untuk penyalahgunaan najis dadah di situ.

Nuing berkata mayat lelaki itu dihantar Hospital Mersing untuk bedah siasat dan beliau menggesa orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mengenali warisnya supaya tampil untuk membantu siasatan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, beliau berkata sebanyak 80 serbuan telah dilaksanakan oleh polis daerah ini melalui Ops Dadu dari 1 Jan hingga 31 Okt, dalam usaha membanteras judi haram di daerah ini.

"Hasil serbuan itu, kami berjaya menangkap seramai 39 orang, berumur antara 17 hingga 40 tahun," kata beliau dalam kenyataan di sini.

Antara ditahan ialah 29 orang termasuk dua wanita yang terlibat judi loteri haram di sebuah rumah secara terbuka membabitkan rampasan wang tunai berjumlah RM1,062 dan judi dalam bangunan melibatkan sembilan lelaki dengan rampasan wang tunai berjumlah RM73,287.

Selain itu, peralatan yang digunakan untuk tujuan perjudian turut dirampas, antaranya dua buah tablet, 22 buah telepon bimbit, 32 biji domino dan tiga buah dadu dan beberapa buah meja,

Nuing berkata pihaknya akan terus membanteras aktiviti perjudian haram di daerah ini serta mengalu-alukan maklumat orang ramai.

- Bernama