K'jaan Perak beri insentif kepada pemberi maklumat rasuah
Kerajaan Perak akan memberi ganjaran kepada individu yang memberikan maklumat berhubung ketirisan atau salah laku dalam pengurusan pentadbiran kerajaan negeri sehingga kes berkenaan dibawa ke muka pengadilan.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata ganjaran berbentuk insentif itu sebagai galakan kepada semua pihak yang membantu kerajaan negeri menangani kes berkaitan integriti dan salah laku.
"Ini sebagai menzahirkan komitmen kerajaan negeri untuk tidak sekali-kali berkompromi atas apa jua isu yang berkait dengan integriti dan akauntabiliti.
"Namun, ganjaran ini tertakluk hanya kepada kes dilaporkan kepada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri melalui Unit Integriti yang bertanggungjawab mengurus dan melaksana inisiatif penginstitusian integriti, pencegahan, pematuhan, pengesanan salah laku dan tindakan punitif secara lebih fokus, terancang, efisien dan optimum," katanya.
Ahmad Faizal berkata demikian ketika merasmikan Seminar Pemerkasaan Integriti Peringkat Negeri Perak anjuran Institut Integriti Malaysia dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di sini hari ini.
Pada sidang media kemudian, Ahmad Faizal berkata ganjaran diberikan itu tidak bermaksud kerajaan negeri cuba membina budaya kerja tidak sihat dengan menggalakkan penjawat awam 'mengintai' kesalahan rakan sekerja lain.
Beliau, sebaliknya berkata ia dilaksanakan untuk menanam sikap bertanggungjawab melaporkan perkara yang boleh merosakkan sesebuah organisasi dan menghentikan kesalahan dengan tindakan sewajarnya diambil terhadap pelaku rasuah.
"Saya bimbang apabila kita sebut insentif, maka ada pula yang kerjanya mengintai kesalahan orang sahaja, saya tidak mahu ada penjawat awam lari daripada fokus berkhidmat kepada rakyat.
"Tetapi jika kesalahan itu boleh membinasakan negara, maka ia perlu dilaporkan, sudah pasti identiti mereka akan dijaga," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata sebuah jawatankuasa anti rasuah yang turut disertai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta agensi penguatkuasa lain akan ditubuhkan bagi membantu kerajaan menjadi sebuah pentadbiran lebih berintegriti.
"Saya sudah pun berbincang bersama Setiausaha Kerajaan Negeri mengenai perkara ini dan skop kerja jawatankuasa akan diperincikan kemudian," katanya.
Seminar sehari bertemakan 'Integriti dan Akuantabiliti Tonggak Kelestarian Pengurusan Berkualiti' itu menampilkan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan dan Pengarah SPRM Perak Datuk Zainul Darus sebagai panel jemputan.
- Bernama

