Polis Perak meminta kerajaan melihat semula keadaan kompleks balai polis serta perumahan yang uzur di negeri ini, untuk dibaik pulih atau dibina semula bagi memastikan kesiapsiagaan anggota keselamatan itu dalam keadaan terbaik.

Justeru, Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berharap kerajaan dapat menyediakan peruntukan sewajarnya berikutan kebanyakan kompleks balai serta perumahan polis sudah usang selepas berusia hampir 15 tahun dan memerlukan pembaikan serta pembesaran kawasan.

“Rata-rata di Perak, perumahan dan kompleks polis sudah berusia jadi kebanyakannya usang dan saya minta kerajaan melihat perkara ini.

“Ini kerana apabila polis berkhidmat di balai yang sempurna serta anggota tinggal di kompleks perumahan dalam keadaan selesa tanpa sebarang masalah maka perkhidmatan kepada masyarakat juga dalam keadaan terbaik,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Balai Polis Segari, Manjung, dekat sini hari ini.

Beliau berkata Balai Polis Daerah Ipoh antara balai memerlukan pembaikan dan pembesaran kawasan dengan jumlah keanggotan kini mencecah 1,600, di samping Balai Polis Daerah Taiping dan juga balai-balai kecil di beberapa kawasan yang kian usang.

-- LAGI

POLIS-KOMPLEKS 2 (AKHIR) LUMUT

Hasnan berkata kebanyakan balai usang mengalami kerosakan pada atap menyebabkan anggota tidak selesa ketika bekerja semasa musim hujan selain lif tidak berfungsi sehingga mengakibatkan anggota polis wanita mengandung serta pelawat warga emas terpaksa menaiki tangga.

“Kerajaan bukan tidak perbaiki perkara ini, tetapi kita masih memerlukan pemuliharaan atau bina balik bangunan demi kesejahteraan selain memberi imej yang baik terhadap pasukan polis,” katanya.

Mengenai Balai Polis Segari, Hasnan berkata balai dibina sejak 1900 itu dibina semula pada 2007 dengan kos RM18 juta sebelum siap sepenuhnya pada Mei 2010, dan dilengkapi kediaman lima tingkat membabitkan 19 rumah anggota dan ruang pejabat.

Beliau berkata 17 anggota berkhidmat di balai tersebut dengan jumlah kapasiti penduduk seramai 14,000 orang.

“Kita harapkan dengan balai baharu ini, anggota dapat memberikan perkhidmatan terbaik dalam mengekalkan keamanan kepada rakyat dan mengurangkan kadar jenayah,” katanya.

-- BERNAMA