Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M Perdana Menteri semua, bukan Kedah saja - MB
Diterbitkan:  Nov 15, 2018 6:37 PM
Dikemaskini: 10:37 AM


DUN KEDAH | Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir hari ini menjelaskan bahawa hubungan kekeluargaan dengan pemimpin nombor satu negara bukanlah satu tiket untuk kerajaan negeri mesti mempunyai pendirian yang selari dengan kerajaan pusat sepanjang masa.

Beliau berkata, ini kerana pendirian negeri Kedah dalam apa jua perkara atau isu mestilah dipertahankan.

“Walaupun ada hubungan kekeluargaan itu tetapi saya ingin jelaskan di sini bahawa saya terpaksa membuat keputusan yang memihak kepada negeri Kedah, ada kalanya mungkin ada perbezaan sedikit dengan pendirian kerajaan pusat, apa pun, pendirian Kedah mestilah kita pertahankan," katanya ketika menggulung perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di Alor Setar hari ini.

Mukhriz berkata, beliau turut faham bahawa Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad juga adalah perdana menteri untuk semua, dan bukan hanya untuk Kedah.

"Jadi tak bolehlah saya nak minta macam-macam,” katanya.

Mukhriz berkata tumpuan Kedah pada ketika ini adalah usaha mencari 'sesuatu' yang boleh menjadi katalis kepada pertumbuhan ekonomi dan sekali gus memberi manfaat kepada seluruh rakyat.

"Suka saya maklumkan bahawa memang ada sedikit sentimen di pihak perdana menteri untuk membantu Kedah, dia pun anggota parlimen di salah satu kawasan di Kedah dan kita akan cuba memohon bantuan dari beliau," katanya.

Bagaimanapun katanya sebelum memohon apa jua bantuan daripada pusat, adalah penting bagi Kedah untuk mempunyai rekod baik dalam pengurusan kewangannya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS