Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
KJ: Pemimpin Umno perlu turun padang 'hasut rakyat' berpiket

Pemimpin Umno digesa untuk turun padang ke kawasan masing-masing minggu ini bagi berjumpa kumpulan yang tidak mendapat manfaat daripada belanjawan Pakatan Harapan (PH).

Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin turut memberi contoh bekas Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Dr Shamsul Anuar Nasarah boleh berjumpa dengan pelajar universiti bagi tujuan itu.

Malah katanya, pemimpin Umno yang lain juga perlu berjumpa dengan golongan nelayan dan petani bagi 'menghasut' mereka untuk berpiket memandangkan beliau mendakwa tiada bantuan musim tengkujuh diberikan kepada golongan itu melalui belanjawan Harapan.

“Mungkin Shamsul boleh berjumpa dengan pelajar universiti, jelaskan kepada mereka sekarang ni macamana dengan PTPTN.

“Bukan kita nak hasut rakyat tapi lebih kurang begitulah. Soal petani nelayan kenapa kita tak balik kawasan, hujung minggu ni, jumpa petani nelayan di kawasan kita, buat piket di jabatan pertanian tuntut duit musim tengkujuh yang tak diberi, barulah ada strategi,” katanya.

Khairy berkata demikian dalam wacana 3.0: Inisiatif Ekonomi Rakyat anjuran Penerangan Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam tadi.

Dalam Belanjawan 2019, sektor pertanian menerima peruntukan RM47 juta untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) produktiviti benih, bijirin dan buah-buahan; RM18 juta bagi automasi industri agromakanan dan RM52 juta untuk pelaksanaan program keusahawanan dan latihan industri tani.

Bagaimanapun, insentif khas untuk pesawah, petani, peladang, nelayan, pekebun kecil, penternak dan penoreh getah tidak dinyatakan, termasuk insentif seperti baja dan input pengeluaran golongan terbabit.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub dilaporkan berkata biarpun terdapat pengurangan peruntukan, pihaknya akan melaksanakan subsidi bersasar kepada golongan itu bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menerima subsidi berkenaan.

Menurut Khairy lagi, pemimpin Umno kini mempunyai prestasi yang agak baik sebagai pembangkang di dewan rakyat dan ia perlu juga dibawa keluar demi memperjuangkan nasib rakyat.

“Strategi perang dalam politik ini kita kena banyak bawa keluar dari dewan, saya sarankan umno dapat selaraskan.

“Hantar ahli parlimen, pemimpin kita kepada kumpulan yang terkesan dan kita menghasut rakyat ke arah kebaikan, sebab kita nak bantu mereka, inilah caranya,” katanya.

Lihat Komen
ADS