'Ini bukan kita', CEO Goldman beritahu kakitangan
Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs Inc David Solomon berusaha menjauhkan firma itu daripada dakwaan terlibat dalam skandal berbilion 1MDB.
Bloomberg melaporkan Salomon meninggalkan mesej kepada kakitangan Goldman Sachs yang terkesan oleh laporan membabitkan mereka dalam skandal itu sebagai berkata "Ini bukan kita".
"Saya secara peribadi marah apabila mana-mana kakitangan firma ini menanggung akibat daripada tindakan kerajaan," Salomon dilaporkan berkata dalam mel suara kepada kakitangannya pada hari Rabu.
Bloomberg memetik seorang jurucakap Goldman Sachs mengesahkan kesahihan mel suara itu dan enggan mengulas lanjut.
"Tingkah laku orang-orang ini patut dikeji dan tidak konsisten dengan kerja bagus dan integriti 40,000 orang daripada kamu setiap hari," kata Salomon merujuk pertuduhan jenayah yang difailkan oleh pendakwa raya AS terhadap dua jurubank Goldman Sachs awal bulan ini.
Salah seorang daripada mereka, Tim Leissner, didakwa dengan dua tuduhan iaitu berkonspirasi untuk melakukan pengubahan wang haram dan berkomplot untuk melanggar Akta Amalan Rasuah Asing berhubung skandal 1MDB.
Beliau mengaku bersalah dan dilaporkan didenda AS $ 43.7 juta.
Menurut laporan Bloomberg, bekas CEO syarikat itu Lloyd Blankfein secara peribadi membantu menjalinkan hubungan dengan Malaysia dan 1MDB bertahun-tahun sebelum Goldman Sachs mengatur perjanjian bon.
Ia selanjutnya menyatakan Blankfein menghadiri pertemuan dengan bekas perdana menteri Malaysia Najib Razak pada 2009, yang akhirnya meletakkan asas bagi hubungan antara Goldman Sachs dan 1MDB.
"Secara umum, ia adalah satu bencana bagi Goldman," penganalisis Oppenheimer & Co yang diketuai Chris Kotowski dipetik sebagai berkata dalam nota kepada pelanggan awal minggu ini.
Saham Goldman Sachs mengalami penurunan sejak pendakwa raya AS mendakwa bekas jurubank mereka.
Pada Isnin, saham Goldman Sachs turun 7.5 peratus berikutan kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa Malaysia menuntut firma itu memulangkan AS$588 juta yang diterimanya daripada 1MDB,
Jumlah itu adalah sebagai yuran yang dibayar oleh 1MDB kepada Goldman untuk menerbitkan bon sebanyak AS$6.5 bilion pada tahun 2012 dan 2013.
Saham Goldman Sachs terus jatuh minggu ini dan Bloomberg melaporkan ia mengalami kerugian lebih AS$ 10 bilion selepas lima hari berturut-turut dan terbesar dalam tempoh tujuh tahun.

