Tidak mustahil individu seperti ketua Umno bahagian Sungai Besar, Jamal Md Yunos memimpin negara ini jika kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal melakukan perubahan daripada semua aspek.
Ini amaran yang disampaikan Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad pada kongres sayap parti itu di Shah Alam hari ini.
"Sekiranya kita terlalu berhati-hati atau segan silu, pembaharuan sama ada ekonomi, pentadbiran, politik atau sosial tidak akan berlaku dan Malaysia akan mati akibat tidak bergerak ke mana-mana. Ia semudah itu.
"Kerajaan yang baik harus mencuba dan mengusahakan perubahan ini dengan usaha yang sama rata.
"Perubahan sosio politik yang progresif di negaa kita mesti diperkukuhkan oleh ekonomi yang lebih adil dan mampan," kata Nik Nazmi.
Beliau kemudian memberikan contoh bagaimana Donald Trump mengambil alih jawatan Barack Obama sebagai presiden AS, sementara United Kingdom mengundi untuk menarik diri dari Kesatuan Eropah (EU).
"Kita tidak mahu 'Jamal Jamban' datang jadi pemimpin, tetapi tidak mustahil," katanya.
Jamal 'jamban' adalah gelaran yang diberikan seteru politik kepada pemimpin gerakan Baju Merah itu selepas tindakannya mengadakan sidang media di dalam sebuah tandas di bangunan Umno Selangor di Shah Alam, dua tahun lalu.
