Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu melakukan agenda pembaharuan secara keseluruhan selaras dengan mandat rakyat yang mahukan perubahan secara total.

Ketua Pemuda PKR (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata demokrasi dan pembangunan ekonomi tidak saling bermusuhan.

Oleh itu katanya, kerajaan yang baik harus mencuba dan mengusahakan perubahan ini dengan usaha yang sama rata.

"Perubahan sosio politik di negara kita mesti diperkukuhkan oleh ekonomi yang lebih adil dan mapan. Janganlah kita lupa bahawa Obama diikuti olehnTrump, atau Blair, Brown dan Cameron diikuti dengan Brexit. Perkara yang sama boleh berlaku di negara kita.

"Saya menyokong pembaharuan kebebasan politik dan sivil yang telah dicadangkan setakat ini. Keputusan untuk mengurangkan usia pengundian sehingga 18 tahun dan mereformasikan sistem pilihan raya ada pembaharuan yang wajar kita alu-alukan.

"Kerajaan tidak seharusnya berpeluk tubuh atau terganggu. Sekali lagi, kita tidak perlu takut untuk membuat pembaharuan yang lebih mendalam. Akta Hasutan, Osa, Sosma, Pota dan undang-undang menindas yang lain harus dihapuskan untuk diganti dengan undang-undang yang melindungi demokrasi. Tidak perlu lagi lagi menjenamakan semula badan-badan propaganda politik kepartian.

"Semua kolej dan universiti kita mesti bebas daripada camput tangan dan manipulasi. Kita mengalu-alukan pemberian autonomi kepada semua universiti awam Malaysia. Mari kita memantapkan lagi autonomi ini dengan menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku 1971) kepada undang-undang yang menjamin autonomi universiti-universiti di Malaysia," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua AMK pada kongres sayap parti itu di Shah Alam, hari ini.

Hadir sama, timbalan ketua AMK, Dr Afif Bahardin.

Sementara itu, Nik Nazmi menegaskan PKR bukanlah parti terlemah dalam PH kerana berjaya memenangi kerusi paling banyak dalam PRU14 lalu.

Katanya, PKR mempunyai jumlah terbesar wakil rakyat dalam PH, iaitu sebanyak 50 anggota parlimen serta 70 Adun di seluruh negara.

"Dari semasa ke semasa pengkritik menuduh kita sebagai paling lemah. Sesiapa sahaja yang berfikir PKR adalah terlemah dalam PH, mereka sama sekali tersilap.

"Kita berterima kasih atas kepercayaan yang telah diterima dan peluang untuk berkhidmat kepada negara," katanya lagi.

Tambah beliau kekuatan PKR kini bakal menobatkan ketua umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke lapan.