Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata beliau menghormati keputusan mahkamah yang mengisytiharkan kemenangannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau sebagai tidak sah.

Beliau bagaimanapun belum memutuskan tindakan lanjut dan akan berbincang dengan peguamnya terlebih dahulu.

"Saya hormati keputusan mahkamah.

"Saya ada 14 hari untuk buat rayuan selepas berunding dengan peguam saya," katanya.

Mohamad juga berkata, keputusan muktamad terletak kepada kepemimpinan BN yang akan membincangkan perkara itu tidak lama lagi.

“Sebagai mempertahankan jawatan sepatutnya saya bertanding, tetapi sekarang terpulang pada parti dan pucuk pimpinan untuk memutuskan calon yang terbaik,” katanya.

Pada 28 April lalu, Mohamad diumumkan menang tanpa bertanding kerusi DUN Rantau selepas Streram selaku calon Pakatan Harapan (PH) yang mewakili PKR dihalang masuk ke pusat penamaan calon kerana tidak memiliki pas yang dikeluarkan SPR.

Susulan itu, pada 23 Mei lalu, pakar bius berkenaan memfailkan petisyen bagi memohon mahkamah supaya membatalkan kemenangan Mohamad dan mengarahkan pilihan raya diadakan semula.

Dalam petisyennya, selain Mohamad selaku responden pertama, Streram turut menamakan pegawai pengurus pilihan raya bagi kawasan Parlimen Rembau, Amino Agos Suyub sebagai reponden kedua; dan SPR sebagai responden ketiga.

Mohamad mula bertanding di kerusi itu dalam PRU11 pada 2004, menewaskan calon PKR, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard dengan majoriti 6,199 undi.

Beliau mengekalkan rekod cemerlang dengan menewaskan calon wanita PKR, Aishah Lamsah, dua kali berturut-turut iaitu pada PRU-12 dan PRU-13, masing-masing dengan majoriti 4,613 undi dan 3,783 undi.

Mahkamah Pilihan Raya di Seremban hari ini memutuskan bahawa kerusi Rantau sebagai kosong dan mengarahkan pilihan raya diadakan serta-merta.

Hakim Azimah Omar menyifatkan Streram didiskriminasi kerana tidak dibenarkan masuk ke dewan pencalonan pada pilihan raya umum lalu atas alasan tiada pas masuk.