Tindakan lebih tegas terhadap pusat perjudian dan persundalan di Pahang
Tindakan lebih tegas akan dilakukan terhadap mereka yang menjalankan kegiatan pusat perjudian dan persundalan di Pahang.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd Zakaria Ahmad berkata semua ketua polis daerah juga diarahkan untuk meningkatkan aktiviti penguatkuasaan terhadap aktiviti tidak bermoral itu di kawasan mereka.
"Semua ketua polis daerah juga diarahkan tidak menyokong permohonan membuka perniagaan pusat hiburan keluarga berkuat kuasa serta-merta bagi mengelakkan ia disalah guna sebagai pusat judi atau kegiatan persundalan.
"Kami juga minta pihak berkuasa tempatan tidak meluluskan permohonan lesen perniagaan seperti ini, selain menyita premis yang terlibat," katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini, hari ini. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.
Beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana ketua polis daerah yang gagal mematuhi arahan tersebut.
Mohd Zakaria menambah pengusaha premis pusat hiburan haram yang masih beroperasi juga digesa menghentikan perniagaan mereka secepat mungkin, atau berhadapan tindakan undang-undang.
Mengulas persediaan musim tengkujuh, Mohd Zakaria berkata lebih 1,800 anggota dan pegawai polis dikerahkan dengan cuti dibekukan bermula Khamis lalu sehingga 15 Jan depan, melainkan untuk kes kecemasan.
Mohd Zakaria menambah untuk meningkatkan kecergasan dan stamina anggota, beliau menyarankan latihan kawad dan jasmani diadakan setiap minggu.
- Bernama

