Harga saham di Bursa Malaysia kekal positif pada tengah hari walaupun prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku ketiga 2018 adalah perlahan, seperti yang diumumkan hari ini.

Peniaga berkata sentimen pasaran kekal baik didorong terutamanya oleh harga minyak mentah yang meningkat semula, serta laporan berita bahawa China dan Amerika Syarikat mungkin mengambil langkah untuk keluar daripada kemelut perdagangan antara mereka.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 11.66 mata kepada 1,705.87 selepas bergerak antara 1,701.92 dan 1,708.96 sepanjang sesi pagi.

Indeks itu dibuka 1.98 mata lebih rendah kepada 1,686.43 hari ini.

Lingkungan pasaran kekal positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 398 berbanding 272, manakala 357 kaunter tidak berubah, 854 kaunter tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.06 bilion unit bernilai RM861.62 juta.

Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan KDNK Malaysia berkembang 4.4 peratus pada suku ketiga 2018 berbanding 6.2 peratus pada suku yang sama tahun lepas, dipacu oleh penggunaan swasta yang kukuh susulan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkadar sifar peratus semasa tempoh tersebut.

Menurut Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, KDNK negara meningkat 4.7 peratus pada tiga suku pertama 2018, dan berada di landasan untuk merekodkan pertumbuhan 4.8 peratus pada setahun penuh 2018.

Mengulas mengenai kesan daripada prestasi ekonomi itu, peniaga berkata pelabur belum lagi memberi reaksi mereka susulan pengumuman BNM itu, dan pasaran masih berada dalam situasi mengambil risiko.

Bagi saham berwajaran tinggi, Maybank naik enam sen kepada RM9.44, Public Bank meningkat 12 sen kepada RM24.62, Tenaga bertambah 10 sen kepada RM14.92, CIMB menokok lima sen pada RM5.64 manakala Petronas Chemicals tidak berubah pada RM9.40.

Bagi saham aktif, Permaju menambah setengah sen kepada 40.5 sen, MyEG turun tiga sen kepada RM1.15, PUC susut satu sen kepada 13.5 sen manakala Hibiscus dan Sapura masing-masing kekal pada RM1.06 dan 36.5 sen.

Nestle merupakan saham paling untung apabila melonjak RM2.10 kepada RM146.50, diikuti Apex Healthcare meningkat 40 sen kepada RM8.50 manakala Hong Leong Financial menokok 38 sen kepada RM19.38, F&N bertambah 34 sen kepada RM33.34 dan Petron Malaysia naik 27 sen kepada RM7.40.

Indeks FBM Emas meningkat 87.18 mata kepada 11,862.01, Indeks FBMT 100 bertambah 89.98 mata kepada 11,702.12, FBM 70 melonjak 146.22 mata kepada 13,975.94 dan Indeks FBM Emas Syariah naik 84.72 mata kepada 11,953.0.

Indeks FBM Ace kurang 16.41 mata pada 4,928.05.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan meningkat 101.87 mata kepada 17,303.39, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.83 mata kepada 173.94 dan Indeks Perladangan mencatatkan 21.76 mata lebih tinggi kepada 7,257.38.

-- BERNAMA