Pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia meningkat kepada RM614.7 bilion pada suku ketiga tahun ini daripada RM590.3 bilion yang direkodkan pada suku kedua 2018, menurut Jabatan Perangkaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, jabatan itu berkata sektor pembuatan merupakan penerima tertinggi FDI di Malaysia (41.4 peratus), diikuti aktiviti kewangan dan insurans/takaful (22.3 peratus) serta perdagangan dan borong runcit (7.2 peratus).

“Tiga negara utama bagi FDI ialah Singapura, Jepun dan Hong Kong,” katanya.

Pelaburan langsung di luar negara (DIA) oleh Malaysia pula merekodkan RM491.3 bilion (suku kedua: RM481.0 bilion), terutamanya dalam aktiviti kewangan dan insurans/ takaful (37.7 peratus), diikuti perlombongan dan pengkuarian (16.7 peratus) dan sektor pertanian (8.1 peratus).

Menurut kenyataan itu, Singapura kekal sebagai destinasi utama kedudukan DIA, diikuti Indonesia dan Pulau Cayman.

Jabatan Perangkaan berkata liabiliti kewangan Malaysia naik kepada RM1.81 trilion pada akhir suku ketiga 2018 daripada RM1.76 trilion pada suku sebelumnya.

Jumlah aset meningkat kepada RM1.698 trilion daripada RM1.683 trilion pada suku kedua, yang menunjukkan liabiliti bersih lebih tinggi pada RM112.2 bilion daripada RM79.7 bilion pada suku sebelumnya.

“Pelaburan portfolio mencatatkan kedudukan liabiliti bersih yang lebih tinggi pada RM287.5 bilion daripada RM272.2 bilion pada suku kedua, manakala pelaburan lain merekodkan liabiliti bersih RM129.0 bilion berbanding RM123.6 bilion sebelum ini.

“Setakat akhir September 2018, rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia berada pada RM426.9 bilion daripada RM423.3 bilion pada akhir Jun,” katanya.

- Bernama