BERSIH mahu tindakan pendakwaan diambil ke atas pegawai pengurus pilihan raya bagi kawasan Rantau yang menghalang calon PKR, Dr S Streram daripada memasuki pusat penamaan calon Rantau pada 28 April lalu.

Menurut BERSIH, Amino Agus Suyub boleh didakwa mengikut Seksyen 4 (g) Akta Kesalahan Pilihan Raya kerana melanggar tugas rasminya.

"Mereka yang didapati bersalah boleh dipenjara sehingga dua tahun dan atau dikenakan denda sehingga RM5,000.

"Menghalang pencalonan Streram semasa Pilihan Raya Umum ke-14 jelas adalah mencabuli hak perlembagaannya untuk menjadi calon dan hak pengundi untuk memilih calon," katanya.

Mahkamah Pilihan Raya di Seremban hari ini memutuskan keputusan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, adalah batal dan tidak sah.

Menurut Hakim Azimah Omar, tidak wujud sebarang undang-undang dan peraturan pilihan raya yang menyatakan 'tag' nama atau pas masuk diperlukan oleh calon, pencadang dan penyokong untuk masuk ke dalam dewan penamaan calon bagi mengemukakan borang penamaan.

Beliau juga berkata bahawa tindakan Amino Agus itu tidak beretika dan berintegriti,

Ketika dihubungi, Pengerusi, Suruhanjaya Pilihan Raya, Azhar Harun memberitahu Malaysiakini bahawa suruhanjaya itu perlu mengkaji prosiding mahkamah dan melihat peruntukan berkaitan sebelum mengambil apa-apa tindakan.

Azhar sebelum ini berkata SPR tidak mempunyai kuasa untuk mendakwa, jadi tidak jelas pihak yang boleh bertindak ke atas pegawai pilihan raya itu.

Sementara itu, mengenai isu pas untuk memasuki pusat penamaan calon, Azhar berkata SPR juga akan meneliti perkara berkenaan.

"Secara peribadi, saya fikir SPR sepatutnya menyelaraskan pilihan raya, menjadikannya mudah untuk mencalonkan diri sendiri bukan mejadikan proses itu sukar.

“Bila kita menjadikannya semakin susah, kita tidak membantu demokrasi," katanya.