Pemuda PKR berkata, kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang lalu bukan kerana kekuatan parti komponen mereka.

Sebaliknya, kata perwakilan Pemuda PKR Perlis, Mohd Khairul Amin, ia adalah kerana rakyat berdepan dengan tekanan hidup di bawah pentadbiran kerajaan lalu.

Tambah Mohd Khairul, kekalahan BN pada 9 Mei lalu perlu menjadi peringatan agar kuasa rakyat jangan sesekali dipermainkan.

“Kita (PH) menang bukan kerana PH kuat, bukan kerana PKR kuat, bukan kerana Bersatu kuat ataupun DAP kuat, sebaliknya kerana kos sara hidup yang tinggi,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Ketua AMK pada Kongres Nasional PKR 2018 di Shah Alam, hari ini.

Oleh itu, katanya, kerajaan PH seharusnya peka terhadap suara anak muda yang sanggup menolak kerajaan pemerintah sebelum ini kerana peningkatan kos sara hidup yang gagal ditangani.

Mohd Khairul berkata tiada gunanya kerajaan hari ini berbangga dengan pembentangan Belanjawan 2019 sekiranya kos sara hidup masih gagal ditangani.

“Apa guna kita berbangga dengan Belanjawan yang paling tinggi jika rakyat merasa ‘sakitnya’ di bawah kerajaan baru.

“Jangan diulangi kesilapan kerajaan lalu,” tegasnya.