SPRM: Siasatan ke atas exco kanan Melaka selesai
Tidak ada sebarang dakwaan akan difailkan terhadap seorang ahli exco kerajaan negeri Melaka yang didakwa menerima sogokan berjumlah RM2.6 juta pada bulan Ogos.
Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Simi Abd Ghani berkata keputusan itu dibuat oleh timbalan pendakwa raya, yang memutuskan mereka tidak mempunyai kes untuk mendakwa.
"Siasatan SPRM telah selesai dan kami telah mengemukakan kertas siasata kepada DPP (timbalan pendakwa raya).
"DPP kemudian memutuskan bahawa tidak ada kes (untuk dibawa ke mahkamah)," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Adalah dilaporkan pada Ogos lalu bahawa SPRM membuka siasatan terhadap seorang ahli exco selepas dia dituduh meminta sogokan daripada firma berkaitan kerajaan.
Malaysiakini difahamkan oleh sumber bahawa ahli exco berkenaan adalah seorang ahli politik Bersatu, yang merupakan wakil rakyat kali pertama dan memegang portfolio kanan.
The Star Online pada 27 Ogos lalu melaporkan bahawa SPRM telah menyoal ahli exco berkenaan dan seorang ahli perniagaan kerana didakwa cuba meminta sogokan daripada seorang pemaju di negeri itu.
Turut dilaporkan, pejabat exco itu di Melaka juga diserbu oleh pihak berkuasa sebagai sebahagian daripada siasatan mereka.

