Akmal menang, boo bergema di dewan
Anggota Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir sah memimpin Pemuda PKR bagi tempoh 2018-2021 selepas diumumkan memenangi jawatan ketua pemuda PKR bagi pemilihan sayap PKR itu.
Kemenangan Akmal diumumkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) pada Kongres Nasional AMK 2018 di Shah Alam, petang ini.
Manakala Adun Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham pula dipilih sebagai pemenang bagi jawatan timbalan ketua pemuda PKR.
Tiga naib ketua pemuda PKR pula dimenangi S Thiban, S Justin dan Mohd Nazree Mohd Yunus.
Sedikit menghangatkan suasana ketika nama Akmal diumumkan oleh JPP beliau 'diboo' oleh segelintir perwakilan dipercayai penyokong 'kem Azmin' ataupun Dr Afif Bahardin.
Lebih menarik lagi, 20 exco Pemuda PKR dikuasai oleh hampir semua kem timbalan ketua pemuda PKR yang dilihat akan menyukarkan gerak kerja Akmal.
Dewan kongres dimeriahkan oleh sorakan penyokong-penyokong kem 'keadilan masa depan' ketika nama Hilman dan barisan exco 'pilihan' mereka diumumkan.
Dalam ucapan sulungnya Akmal mengakui pemilihan parti itu kali ini disulami pelbagai isu, namun keputusan harus diterima dengan hati yang terbuka.
"Pemilihan kali ini banyak sangat isu, saya tak tahu nak gembira atau bersedih, dah lah "adik beradik".
"Saya harap sepanjang tempoh saya pegang jawatan ini, saya mohon kerjasama, saya mohon pertolongan kawan-kawan dan saya mohon kerjasama semua.
"Kalau kita gagal dalam tempoh empat tahun ini, kita semua yang gagal," katanya.
Akmal berkata, apa yang lebih penting tugas Pemuda PKR selepas ini adalah memperkukuhkan Pakatan Harapan (PH) dan pastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim dinobatkan sebagai Perdana Menteri bila tiba masanya.
Sementara itu Hilman berkata, kumpulan 'keadilan masa depan' dibubarkan serta merta dan mereka kini bekerja dalam satu kumpulan sebagai saf Pemuda PKR.
Tidak timbul lagi soal mana-mana kumpulan dan sokongan padu akan diberikan kepada Akmal selaku ketua.
Sementara itu dalam sidang media Afif 'mengumumkan' kumpulannya 'keadlian masa depan' menguasai pemilihan sayap parti itu.
Bekas timbalan ketua pemuda PKR itu berkata, hampir kesemua jawatan dalam sayap itu dimenangi oleh calon-calon kemnya, namun beliau gagal memenangi jawatan ketua pemuda PKR.
"Pasukan yang saya tawarkan menang hampir kesemua jawatan (Pemuda PKR), pengerusi tetap, timbalan datang daripada kami...pasukan yang terbaik untuk AMK (Pemuda PKR) ke hadapan.
"Saya ucapkan tahniah kepada Hilman, saya yakin beliau dapat membantu saudara Akmal," katanya
Dalam pada itu Afif mahu kepemimpinan parti itu yang bakal dipimpin Anwar Ibrahim supaya menambahbaik proses pemilihan parti itu.

